Pages

Monday, December 29, 2008

Ringkasan Berita Terkini

9,000 penunjuk perasaan berkumpul di luar Parlimen.

BANGKOK: Kira-kira 9,000 penunjuk perasaan antikerajaan berkumpul di jalan masuk bangunan Parlimen Thailand, awal pagi ini apabila Perdana Menteri baru, Abhisit Vejjajiva dijadual memberi ucapan penting mengenai dasar pentadbirannya.

Penunjuk perasaaan memakai baju merah yang setia dengan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra, mula berarak ke Parlimen sejak tengah malam tadi dari dataran ibu kota Bangkok.

Mereka mengepung pintu masuk Parlimen sejak subuh tadi dan melaungkan bahawa mereka akan berada di situ sehinggalah Abhisit meletakkan jawatan.

Pengajaran di sebalik Hijrah Rasulullah s.a.w

Tanggal 1 Muharram merupakan detik yang bersejarah buat umat Islam keseluruhannya. Tarikh tersebut merupakan hari pertama dalam perkiraan tahun hijrah buat umat Islam. Menyingkap kembali sejarah peristiwa hijrah Rasul dan para sahabat, terkandung di dalamnya pengajaran dan hikmah buat perkembangan Islam itu sendiri. Peristiwa ini juga telah menyaksikan pengorbanan para sahabat yang cinta mereka tidak berbelah bahagi terhadap Rasulullah SAW.

Antaranya keberanian Saidina Ali r.a yang sanggup menggantikan Rasullullah SAW di tempat tidur baginda walaupun pada ketika itu orang-orang kafir Quraisy sedang berkawal di luar rumah bagi menangkap Rasullah SAW. Kesanggupan Saidina Ali menempa maut di tangan orang kafir Quraisy dengan menggantikan Rasullullah di tempat tidur baginda bagi menjayakan perancangan hijrah Rasulullah SAW menjadi bukti kecintaan beliau yang tidak berbelah bahagi kepada Rasulullah.

Lancarkan demonstrasi, boikot dan solat hajat

KUALA LUMPUR, 29 Dis (Hrkh) -Selepas PAS mengutuk serangan Israel di Gaza, Teras Pengupayaan Melayu (Teras) menggesa supaya dilancarkan demonstarsi di seluruh negara bagi menyatakan bantahan keras terhadap tindakan biadap Israel itu.

Selain turut mendesak supaya bantuan ketenteraan daripada negara-negara Islam dihantar segera untuk melindungi rakyat Gaza.

Presiden Teras Mohd Azmi Abdul Hamid berkata Persidangan Negara-negara Islam (OIC) mesti segera bersidang untuk melaksanakan kerahan bantuan ketenteraan ini kerana serangan yang tidak berperi kemanusiaan itu telah mengorbankan lebih 200 orang dan ratusan lagi tercedera malah kesannya bukan sahaja mempengaruhi keadaan semasa di Gaza tetapi dalam jangka masa panjang juga kerana banyak kemudahan awam seperti hospital,air dan elektrik telah musnah dalam serangan tersebut.

Raja Hanipuddin Pemangku Ketua Umno PJ Selatan

SHAH ALAM: Mesyuarat Khas Badan Perhubungan Umno Selangor sebulat suara menyokong penuh pelantikan Raja Datuk Hanipuddin Raja Datuk Nong Chik sebagai Pemangku Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan (PJS) bagi tempoh tiga tahun.

Pengerusinya, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, berkata pelantikan itu dibuat selepas mengambil kira kepimpinan dan pengalaman Datuk Hanipuddin dalam Umno Bahagian PJS.

Lantikan Anwar bukan perlekeh pemimpin PKR negeri

KOTA KINABALU: Pelantikan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengetuai parti itu di Sabah dan Sarawak tidak bertujuan memperlekehkan kepimpinan sedia ada di kedua-dua negeri tersebut, kata Setiausaha PKR Sabah, Ahmad Thamrin Mohd Jaini.

Ahmad Thamrin berkata, keputusan supaya Anwar menggantikan Datuk Dr. Jeffrey Kitingan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan PKR Sabah dan Sarawak sebenarnya bertujuan memperkukuhkan parti itu.

"Kita perlu melihat keputusan itu secara positif dan tidak patut mempersoalkannya," katanya.

Bagaimanapun katanya, kedudukan Anwar dalam mengetuai PKR di kedua-dua negeri itu adalah untuk sementara waktu sahaja.

Awal minggu ini, Jeffrey telah menyifatkan tindakan menggantikan beliau dengan Anwar bagi mengetuai PKR di Sabah seperti memberi gambaran yang orang Sabah tidak berkemampuan mengetuai parti di negeri itu.

Perkenalkan Indeks Kepuasan Hati Penduduk

KUALA LUMPUR, 29 Dis-- Aktivis masyarakat Tan Sri Lee Lam Thye mencadangkan agar Indeks Kepuasan Hati Penduduk (IKHP) diperkenalkan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk mengukur pandangan orang ramai terhadap perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Daripada dilihat sebagai badan kerajaan yang terendah, kerajaan tempatan sepatutnya dilihat sebagai yang tertinggi daripada segi penyediaan perkhidmatan dan keperluan masyarakat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

"Penglibatan rakyat di peringkat akar umbi dan maklum balas mereka adalah kunci utama kepada urus tadbir yang baik, ini amat penting kerana kita belum mempunyai pihak berkuasa tempatan yang dipilih rakyat," katanya.

ISA Kekal Walau Dikecam Hebat

KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) -- Desakan supaya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan paling hebat disuarakan tahun ini tetapi tiada petanda ia bakal dimansuhkan atau diganti dengan undang-undang baru.

Penahanan beberapa individu yang dianggap mengancam keselamatan negara mencetuskan semula perbahasan mengenai undang-undang itu yang didakwa sesetengah pihak sebagai menyekat kebebasan yang dilindungi Perlembagaan Persekutuan, dengan tuduhan ia disalahgunakan untuk kepentingan politik.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia turut tampil dengan cadangan baru supaya ISA digantikan dengan undang-undang antikeganasan yang, selain menjadikan penahanan sebagai langkah pencegahan tindakan keganasan, akan turut memberi penekanan kepada perlindungan hak tahanan seperti pelantikan peguam dan hak kepada semakan penghakiman.

Desakan supaya ISA dimansuhkan mula kedengaran setelah beberapa anggota pertubuhan haram dikenali Hindraf, termasuk lima pemimpinnya iaitu peguam M. Manoharan, P. Uthayakumar, V.Ganabatirau, R. Kenghadharan dan K. Vasantha Kumar, ditahan pada 13 Dis tahun lepas kerana didakwa terlibat dalam demonstrasi di Kuala Lumpur pada 25 Nov dan mengeluarkan kenyataan memfitnah kerajaan.




No comments:

Posting Terkini