Pages

Sunday, December 1, 2013

BBC sokong MB dalam kenaikan gaji



Walaupun sebelum ini terdapat perbezaan pandangan di kalangan anggota Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Selangor, BBC malam tadi mengesahkan yang ia menyokong cadangan kenaikan gaji wakil rakyat yang diusulkan menteri besar Selangor.

Pengerusi BBC, Azmin Ali yang menentang kenaikan gaji daripada RM6,000 kepada RM11,250 itu bagaimanapun tidak hadir sewaktu ketetapan itu diputuskan dalam satu mesyuarat di antara BBC dan Tan Sri Khalid Ibrahim malam tadi.

Timbalan Pengerusi BBC, Dr Abdul Rani Osman berkata Abdul Khalid memaklumkan kenaikan itu tetap akan diteruskan walaupun dikritik.

Menurutnya, anggota dewan undangan negeri yang hadir semalam menyokong perkara itu.

"Tiada masalah (dengan kenaikan gaji), kita terima. Naik gaji ini kita tahu dari sumber yang halal. 

"Kita bukan nak ambil dari sumber tak betul atau rasuah.

"Dari segi Islam kita dalam Islam tak pernah dihalang jadi jutawan pun asalkan dapat dengan cara yang betul," kata Dr Rani yang merupakan ADUN Meru.  

Menurutnya, sebahagian besar daripada gaji ADUN akan kembali kepada orang ramai juga kerana mereka membelanjakannya untuk berkhidmat kepada orang ramai.

Menurutnya lagi, Abdul Khalid akan mengeluarkan satu kenyataan Selasa depan untuk menjawab kritikan terhadap kenaikan itu.

Jelasnya lagi, ketiadaan Azmin adalah kerana Azmin menghadiri satu program di Lumut, Perak malam tadi.

Sementara itu, ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim berkata kenaikan itu dipandang serong sebelum ini kerana kenyataan daripada anggota BBC sendiri.

"Ada segelintir yang cuba jadi hero sehingga semuanya berserabut.

"Hakikatnya, kenaikan gaji ini menerima sokongan dwipartisan termasuklah dari pembangkang dari BN," katanya.

Jelasnya, BBC juga sudah bersetuju untuk tidak mengeluarkan kenyataan peribadi kepada orang ramai berkenaan kenaikan itu.

No comments:

Posting Terkini