KUALA LUMPUR: Dalam proses transformasi politik dan meremajakan Umno, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek, 67 tahun, masih diberi peluang oleh akar umbi parti untuk mengisi slot 25 kerusi jawatan ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno.
Dalam pemilihan yang menyaksikan persaingan 62 calon itu kelmarin, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, terus mengekalkan dominasi tangga teratas, sama kedudukan diraihnya dalam pemilihan 2009.
Pengerusi Tabung Haji, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, pula yang menduduki tangga terakhir - tempat ke-25 - empat tahun lalu, melonjak ke dalam 10 kedudukan teratas kali ini.
Kedudukan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, di tangga kedua turut membuktikan bahawa para perwakilan mahu golongan ulama ditempatkan di kedudukan strategik.
Pemilihan MT penggal 2013-2016 kali ini turut menyaksikan pakej pemegang jawatan menteri dan timbalan menteri masih relevan dalam persaingan dalam MT. Kesemua lapan menteri menang dalam persaingan.
Akar umbi Umno dilihat lebih yakin kepada seseorang yang berjawatan dalam pemilihan kali ini, khususnya dalam memberi bantuan secara terus kepada ahli sesuai dengan jawatan yang dipikul, lapor Utusan Malaysia.
Menerusi kedudukan dalam Kabinet, ia menjadi satu kelebihan untuk memberi perkhidmatan lebih berkesan bagi melaksanakan dasar-dasar Umno dalam kerajaan.
Menteri-menteri lain yang menang ialah Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Datuk Seri Idris Jusoh, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Datuk Seri Shahidan Kassim.
Antara Timbalan Menteri yang berjaya pula ialah Datuk Razali Ibrahim, Datuk Rosnah Abd Rashid Shirlin, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Datuk Tajuddin Abdul Rahman dan Datuk Abd Aziz Kaprawi.
Tiga penyandang - Datuk Saifuddin Abdullah, Datuk Norraesah Mohamad dan Datuk Hamidah Osman - bagaimanapun tewas.
Namun, akar umbi masih memberi peluang kepada calon yang tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-13, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, yang juga mantan Timbalan Menteri Pelajaran dalam platform pembuat dasar parti tersebut.
Di sebalik itu, percubaan lima calon Wanita Umno menempatkan diri dalam MT gagal.
Cuma mantan Ketua Puteri Umno, Datuk Seri Azalina Othman Said, yang juga Ahli Parlimen Pengerang, berjaya menempatkan diri.
Wanita, bagaimanapun, masih memiliki calon tunggal mereka dalam MT iaitu Ketua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
No comments:
Post a Comment