SHAH ALAM: Perebutan jawatan Ketua Pemuda Umno kini menjadi tumpuan apabila seorang ahli Umno dari Selangor menawarkan diri bertanding jawatan nombor satu sayap parti pada pemilihan parti itu.
Syed Rosli Syed Harman Jamalullail, 37 tahun, yang juga Penolong Setiausaha Pemuda Cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka, menghubungi Sinar Harian mengumumkan hasratnya bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno.
Beliau yang telah menjadi ahli Umno selama 19 tahun tidak menyandang apa-apa jawatan di peringkat Pemuda Bahagian mahupun Pusat.
"Keputusan bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno ini sudah difikir masak-masak dalam masa sebulan ini malah saya turut mendapat restu beberapa ketua pemuda," katanya.
Menurutnya, beliau tidak gentar berdepan dengan penyandang jawatan itu, Encik Khairy Jamaluddin, yang juga Menteri Belia dan Sukan.
Katanya, tujuan untuk bertanding pada pemilihan parti kali ini adalah kerana melihat perjuangan kepimpinan Pemuda Umno sekarang sudah jauh tersasar daripada perjuangan Umno yang asal, terutama isu mempertahan hak istimewa orang Melayu, agama Islam dan kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu.
Semalam, anak mantan Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid, Encik Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, 40 tahun, turut mengesahkan akan mencabar Encik Khairy.
"Saya bertanding bukan kerana melihat kepimpinan yang sedia ada kurang berkesan atau lemah tetapi kerana mahu mengukuhkan lagi pergerakan Pemuda bagi memastikan kemenangan di pilihan raya akan datang seterusnya memastikan kepentingan Melayu terus terbela," katanya dalam satu sidang media, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
No comments:
Post a Comment