MENJELANG PEMILIHAN UMNO
KUANTAN: Datuk Seri Hishammuddin Hussein (gambar) menyifatkan pertandingan enam penjuru untuk jawatan Naib Presiden Umno yang disandangnya pada pemilihan parti bulan depan, bukanlah sesuatu yang unik atau luar biasa.
Beliau berkata perkara itu juga bukan sesuatu yang mengejutkannya kerana ketika menyuarakan hasrat untuk mempertahankan jawatan itu, beliau sudah mendengar desas-desus bahawa ramai yang mahu bertanding jawatan berkenaan.
"Bagi saya kalau pertandingan itu secara sihat dan bersandarkan kepada kekuatan yang ada pada setiap calon, saya rasa apabila pemilihan ini berakhir, parti akan lebih kuat.
"Tetapi jika budaya politik negatif menjadi amalan ketika bertanding, parti akan rosak, bukannya nama calon berkenaan," katanya pada sidang media selepas majlis taklimat tertutup calon Naib Presiden Umno Bersama Barisan Kepemimpinan Umno Pahang di Kompleks Yayasan Pahang, dekat sini, kelmarin seperti yang dilaporkan Berita Harian Malaysia (BHM).
Datuk Seri Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan, berkata selama ini beliau selesa bekerjasama dengan dua lagi penyandang jawatan itu - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal - sehingga mereka berjaya membawa wadah perjuangan parti selama ini.
Katanya, kerjasama di antara mereka tidak perlu dipolemikkan oleh sesetengah pihak yang mengatakan wujudnya pakatan antara ketiga-tiganya untuk menentang calon yang mencabar mereka pada pemilihan kali ini.
Kelmarin, Tribunal Lembaga Disiplin Umno memberi amaran kepada semua calon yang bakal bertanding dalam pemilihan bulan depan, supaya jangan terlalu ghairah hingga melanggar etika parti, sekali gus menggagalkan usaha transformasi Umno.
Pengerusinya, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas, berkata keghairahan ketika berkempen mendedahkan mereka kepada pelbagai kesalahan seperti digariskan dalam etika pemilihan dan mereka perlu terus memelihara maruah Umno.
"Jangan lupa matlamat asal perjuangan. Calon juga perlu cermin diri masing-masing untuk menilai kemampuan menggalas tanggungjawab berat," katanya.
Sebelum ini, Tak Sri Megat Najmuddin dilaporkan berkata bahawa pemimpin Umno yang didapati bersalah mengamalkan politik wang ketika berkempen akan dikenakan tindakan tegas termasuk dilucutkan jawatan dalam kerajaan.
Mengenai etika ketika berkempen pula, calon yang akan bertanding pada mesyuarat pemilihan Umno bulan depan dibenarkan menggunakan saluran laman sosial dan khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk berkempen, tetapi ditegah mengadakan sebarang bentuk pertemuan dan menggunakan wang bagi mempengaruhi perwakilan, termasuk menganjurkan majlis makan malam.
Selain itu, calon yang berjawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri termasuk Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (exco) ditegah menggunakan kedudukan untuk mempengaruhi perwakilan, terutama mengadakan majlis kepartian untuk berkempen.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno negeri, Datuk Muda Mamat, berkata semua calon yang akan bertanding diminta mematuhi peraturan dan syarat ditetapkan bagi mengelak dikenakan tindakan tatatertib oleh parti, selain pencalonan mereka ditolak.
Katanya, walaupun calon dibolehkan berkempen melalui laman sosial dan SMS, mereka dilarang menggunakan perkataan berbaur hasutan serta memburuk-burukkan serta melakukan serangan peribadi terhadap calon lain.
"Kami sudah menubuhkan jawatankuasa khas untuk meneliti laman sosial semua calon yang akan bertanding dan tindakan menolak pencalonan mereka daripada bertanding akan dikenakan sekiranya syarat ini dilanggar," katanya ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Umno negeri, di Kuala Terengganu, kelmarin.
No comments:
Post a Comment