8 Jul 2013
Terhempas semasa mendarat
Dua mati, 182 cedera dalam nahas di lapangan terbang San Francisco
SAN FRANCISCO: Dua orang terbunuh sementara 182 cedera apabila pesawat Boeing 777 milik syarikat penerbangan Asiana Airlines terhempas dan terbakar semasa mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco, awal pagi semalam.
Kededua mangsa yang terkorban disahkan remaja perempuan warga China berusia 16 tahun.
Pesawat Penerbangan 214 itu dari Shanghai dan transit di Seoul sebelum meneruskan penerbangannya ke Amerika Syarikat.
Ia membawa 291 penumpang dan 16 kru.
Seorang saksi yang nampak kemalangan itu, Cik Isabella Lacaze, 18 tahun, berkata:
"Saya nampak muncung pesawat itu terhentak di landasan dan kemudian ekor pesawat ternaik ke udara, sebelum ia terhempas kuat."
Ekor pesawat itu kemudian tercabut sementara bahagian lain pesawat meluncur dan berpusing di landasan sebelum terbakar.
Seorang lagi penumpang, Encik Benjamin Levy, berkata pesawat itu terbang terlalu rendah dan terlalu laju semasa hendak mendarat.
"Beliau (juruterbang) kemudian cuba menaikkan semula pesawat tetapi sudah terlambat dan ia terhempas di landasan, dan kita kemudian terlambung lagi dan kemudian terhempas lagi dengan kuat," katanya.
Encik Jang Hyung Lee, 32 tahun, yang turut terselamat berkata beliau memegang erat anak lelakinya yang berusia 16 bulan, apabila beliau rasakan sesuatu yang tidak kena semasa pesawat itu cuba mendarat.
Menurut beliau, tiada pengumuman dibuat kepada para penumpang sebelum pesawat itu terhempas.
"Kami dapat keluar dengan cepat. Kami lari lintang pukang kerana pesawat sudah mula terbakar," kata Encik Lee, yang bekerja di California dan baru pulang dari lawatan ke Korea Selatan bersama keluarga.
Seorang konsultan keselamatan, Encik John Cox, berkata pesawat itu kelihatannya telah terlanggar benteng laut San Francisco Bay, di hujung landasan.
Ketika ditemui wartawan, Datuk Bandar San Francisco, Encik Ed Lee, berkata:
"Kita sangat beruntung kerana ramai yang terselamat. Keadaan mungkin lebih buruk lagi."
Menurut Asiana, para penumpang terdiri daripada 77 warga Korea, 141 (China), 61 (Amerika) dan seorang Jepun.
Para pegawai perubatan berkata lapan penumpang masih berada dalam keadaan kritikal.
Jurucakap Hospital Besar San Francisco, Cik Rachael Kagan berkata:
"Kami menerima ramai pesakit yang mengalami kecederaan tulang belakang."
Doktor juga merawat penumpang mengalami kelecuran, patah tulang dan kecederaan pada kepala dan perut.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Asiana, Encik Yoon Young-Doo, berkata pesawat yang dibeli pada Mac 2006 itu tidak mengalami masalah enjin tetapi pihaknya perlukan masa untuk menyiasat punca sebenar kejadian. - AP, AFP, Reuters.
No comments:
Post a Comment