KUCHING: Lebih 2 juta penduduk bergelap apabila bekalan elektrik terputus di hampir seluruh Sarawak sejak 5.40 petang kelmarin.
Bekalan elektrik di Kuching hanya dapat dipulihkan sepenuhnya sekitar 10.45 malam kelmarin manakala Sibu, Bintulu dan Miri masih bergelap ketika itu.
Di Lawas, pengguna tidak terjejas dengan insiden itu dan menikmati bekalan tenaga kerana kawasan itu tidak disambung dengan grid utama.
Bekalan elektrik dijangka telah dapat dipulihkan sepenuhnya secara berperingkat semalam manakala ada beberapa kawasan mempunyai sistem sokongan kuasa automatik.
Di Sibu, lebih 200 anggota polis dikerah mengawal lalu lintas dan melakukan rondaan sebaik bekalan elektrik terputus kelmarin.
Ketua Polis Daerah, Penolong Pesuruhjaya Shafie Ismail, berkata lampu isyarat tidak berfungsi di waktu sibuk menyebabkan berlaku kesesakan luar biasa tetapi dapat dikawal.
Di Miri, tiga rumah di Piasau Jaya terbakar dalam kejadian sekitar 7.50 malam kelmarin, dipercayai akibat penggunaan lilin menggantikan bekalan elektrik, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dan api dapat dikawal sejam kemudian.
Sementara itu, agensi berita Bernama menukil Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Energy Berhad (SEB), Encik Torstein Dale Sjøtveit, sebagai berkata penurunan frekuensi pada sistem tenaga yang mencetuskan gangguan bekalan elektrik di sebahagian besar kawasan di Sarawak mungkin bermula dari loji hidroelektrik Bakun.
"Punca insiden yang bermula 5.36 petang masih belum diketahui sepenuhnya tetapi dengan fakta yang diperoleh setakat ini, kelihatan seperti penurunan frekuensi mungkin bermula dari loji hidroelektrik Bakun," katanya dalam kenyataannya semalam.
Sambil memohon maaf atas kesulitan dan kerugian yang dialami pengguna akibat gangguan bekalan elektrik itu, beliau memberi jaminan SEB akan melakukan yang terbaik bagi mengembalikan keadaan seperti sedia kala.
Katanya, ratusan petugas SEB juga telah digerakkkan di stesen-stesen janakuasa dan stesen kecil di seluruh Sarawak bagi menyokong dan memantau pemulihan sistem.
No comments:
Post a Comment