Pages

Sunday, June 30, 2013

Askar Thai terkorban dalam serangan bom


SERANGAN BOM TEPI JALAN: Pasukan keselamatan Thailand memeriksa bangkai trak tentera yang musnah akibat serangan bom di wilayah Yala, semalam. - Foto REUTERS
BANGKOK: Seramai lapan askar Thailand terbunuh oleh sebutir bom di tepi jalan di wilayah selatan negara itu yang bergolak awal pagi semalam, kata seorang jurucakap tentera.
Serangan itu menimbulkan persoalan tentang sama ada proses damai yang rapuh dan bertujuan mengakhiri pemberontakan hampir sedekad dapat bertahan lama.
Lebih 5,700 orang telah terbunuh dalam pemberontakan di wilayah selatan Thailand, yang didiami ramai penduduk Islam, dengan rasa optimis bagi keamanan dapat diwujudkan baru-baru ini setelah pihak berkuasa mengadakan rundingan dengan beberapa kumpulan pemberontak, termasuk Barisan Revolusi Nasional (BRN).


Serangan bom semalam merupakan antara serangan tunggal paling berdarah oleh pemberontak terhadap pasukan keselamatan Thailand dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
Bom itu memusnahkan sebuah trak tentera yang membawa askar yang baru pulang daripada berkawal malam di pangkalan tentera daerah Krongpinang, wilayah Yala.
"Bom sangat kuat yang memusnahkan trak ini," kata jurucakap, Kolonel Pramote Promin, kepada AFP, menerusi telefon.
Katanya, 10 orang askar berada dalam trak dan lapan daripada mereka terbunuh sementara dua lagi askar cedera. Selain itu, dua orang kampung turut cedera akibat letupan itu, katanya.
"Ia berkemungkinan kehilangan terbesar bagi tentera kami sejauh ini," kata Kolonel Promin.
Media tempatan melaporkan bom itu seberat lebih 50 kilogram. Ia menyokong pandangan pakar bahawa pemberontak semakin canggih dalam serangan bom mereka.
Serangan yang berlaku hampir setiap hari terhadap pasukan keselamatan dan orang awam berterusan walaupun pusingan rundingan yang berjaya pada 14 Jun lalu melihat kedua-dua pihak setuju berusaha mengekang keganasan menjelang bulan Ramadan.
Namun, prospek mengurangkan keganasan dikurangkan secara ketara nampaknya menerima tamparan minggu lalu setelah pihak BRN meminta agar pihak tentera pulang ke pangkalan mereka sepanjang bulan Ramadan sebagai ganti pelaksanaan gencatan senjata pada bulan suci itu - permintaan yang segera ditolak kerajaan Thailand.
Persoalan turut timbul tentang sama ada wakil BRN yang berunding dengan pihak berkuasa Thailand dapat mengekang keganasan oleh generasi muda pemberontak yang semakin tegar dan ganas.
Generasi muda pemberontak itu dipercayai bertanggungjawab bagi kebanyakan keganasan dahsyat yang berlaku di wilayah Yala, Narathiwat dan Pattani. - AFP.

No comments:

Posting Terkini