Pages

Thursday, April 25, 2013

Bangunan lapan tingkat runtuh 80 maut


Plaza Rana di bandar Savar, di luar Dhaka
SAVAR (Bangladesh): Sebuah bangunan lapan tingkat yang menempatkan beberapa kilang pakaian dan ribuan pekerja runtuh, sehingga menyebabkan sekurang-kurangnya 82 orang terbunuh di Bangladesh, semalam, dengan ramai lagi dikhuatirkan maut.
Hanya tingkat bawah bangunan Plaza Rana di bandar Savar, di luar Dhaka, yang masih utuh apabila blok bangunan itu - yang disifatkan sebuah kementerian sebagai dibina secara haram - runtuh sekitar 9 pagi, waktu tempatan.

Dengan dilengkapkan alat pemotong konkrit dan kren, ratusan pekerja bomba dan penyelamat berhempas pulas mencari mereka yang terselamat dalam timbunan runtuhan konkrit dan keluli yang kelihatan seperti akibat gegaran sebuah gempa bumi.
Mayat-mayat dan mangsa yang tercedera ditemui di celahan runtuhan bangunan tersebut.
"Kerja-kerja menyelamat sedang berjalan sepenuhnya. Namun, ia akan mengambil masa beberapa hari untuk menyelesaikan tugas itu. Ia satu tragedi yang besar," kata Encik Zehadul Islam, seorang pegawai daripada jabatan bomba, kepada agensi berita AFP.
Dr Hiralal Roy, seorang doktor kanan di wad kecemasan Hospital Enam di mana para mangsa telah dibawa, memberitahu agensi berita AFP bahawa angka kematian mencecah 82 orang.
Hospital itu pula telah merawat sekurang-kurangnya 1,000 orang yang tercedera, ujarnya lagi.
"Kebanyakan yang maut adalah pekerja kilang pakaian. Perangkaannya akan meningkat kerana keadaan beberapa orang yang cedera itu agak kritikal," kata Dr Roy kepada AFP, sambil menambah bahawa hospital berkenaan telah membuat rayuan pendermaan darah kecemasan.
Beberapa pekerja mengadu bahawa bangunan tersebut kelihatannya menunjukkan tanda-tanda keretakan malam kelmarin, tetapi mereka dipaksa supaya terus bekerja oleh para pengurus masing-masing.
"Para pengurus memaksa kami untuk menyertai semula (pekerja lain) dan selang sejam kemudian selepas kami memasuki kilang itu, bangunan pun roboh diiringi bunyi yang kuat," kata seorang pekerja berusia 24 tahun yang mengenalkan dirinya hanya sebagai Mousumi.
"Saya cedera tetapi saya belum menemui suami saya yang bekerja di tingkat empat," kata beliau kepada AFP, sambil menganggarkan bahawa 5,000 pekerja sedang bertugas dalam bangunan itu, yang turut menempatkan unit-unit apartmen, sebuah bank dan beberapa kedai.
Persatuan Pengilang dan Pengeksport Pakaian Bangladesh (BGMEA) berkata kilang-kilang di bangunan itu menggajikan lebih 2,600 pekerja.
Cik Masuda Begum, 22 tahun, yang bertugas sebagai pekerja pengeluaran, memberitahu AFP dari katil Klinik Rose di Savar bahawa beliau terselamat selepas berjaya bersembunyi di bawah sebuah mesin jahit sedang bumbung bangunan tersebut roboh.
"Seluruh bangunan itu bergegar selang setengah jam selepas kami mula bekerja.
"Terdapat ratusan pekerja di tingkat kami. Tiba-tiba ia menjadi gelap. Beberapa orang di antara kami mampu merangkak keluar tetapi saya tidak tahu apa yang terjadi kepada yang lain," kata beliau kepada AFP lagi.
Menteri Dalam Negeri Bangladesh, Encik Muhiuddin Khan, memberitahu para wartawan bahawa bangunan itu telah dibina secara haram dan melanggar kod binaan di negara itu.
Perangkaan kematian yang tinggi dijangka menimbulkan persoalan tentang taraf keselamatan dalam perusahaan kilang pakaian Bangladesh.
Bangladesh mempunyai perusahaan pakaian kedua terbesar di dunia.
Perusahaan itu membekalkan pakaian kepada beberapa jenama utama Barat, tetapi ia sering dicemari kemalangan-kemalangan dan tindakan pekerja berdemonstrasi untuk mendapatkan gaji dan sekitaran pekerjaan yang lebih baik.
Pada November tahun lalu, sebuah kilang pakaian di kawasan pinggiran Dhaka terbakar sehingga menyebabkan 111 pekerjanya maut dalam apa yang disifatkan sebagai kemalangan paling teruk dalam sejarah perusahaan pakaian Bangladesh. - AFP.

No comments:

Posting Terkini