Pages

Wednesday, February 27, 2013

Presiden baru Korea Selatan mahu kawal konglomerat besar


Presiden Korea Selatan Park Geun-Hye
SEOUL: Presiden baru Korea Selatan membayangkan bahawa beliau akan cuba mengawal konglomerat-konglomerat besar yang menguasai ekonomi negara itu dan dituduh membendung inovasi.
Cik Park Geun-Hye menjadikan isu ekonomi dalam negeri tumpuan ucapan sulungnya selepas mengangkat sumpah sebagai presiden wanita pertama Korea Selatan dalam satu majlis rasmi di Seoul semalam.
Anak perempuan mendiang diktator Korea Selatan, Encik Park Chung-Hee, itu menumpukan ucapannya pada syarikat raksasa milik keluarga, atau chaebol, yang pernah dipupuk oleh bapanya sebagai jentera pertumbuhan ekonomi negara itu.
Gesaan semakin meningkat agar dilaksana pembaharuan dalam chaebol seperti Samsung dan Hyundai, yang mempunyai kepentingan dalam hampir setiap sektor ekonomi Korea Selatan dan pengaruh kewangan yang boleh memadamkan pesaingnya yang lebih kecil.

"Saya dengan penuh kesungguhan percaya bahawa hanya apabila satu pasaran adil disediakan barulah semua orang boleh mengimpikan masa depan lebih baik dan berusaha ke arah potensi mereka sepenuhnya," kata Cik Park dalam ucapannya.
"Dengan pengakaran beberapa amalan tidak adil dan membetulkan tabiat-tabiat salah masa lalu yang telah mengecewakan pemilik perniagaan kecil... kita akan menawarkan sokongan aktif bagi memastikan setiap orang boleh hidup ke arah potensi mereka sepenuhnya," kata beliau lagi.
Ada tanggapan awam yang meluas bahawa chaebol telah memonopoli manfaat pertumbuhan ekonomi, namun firma-firma teknologi tinggi, seperti Samsung, telah meningkatkan profil Korea Selatan di luar negara dengan inovasi mereka dalam bidang elektronik dan telefon bimbit.
Cik Park, yang memimpin parti konservatif memerintah, telah bertegas semasa kempen beliau akan melaksana pembaharuan chaebol, tetapi tidak seagresif pencabarnya, Encik Moon Jae-In.
Sambil berjanji akan mengawal chaebol dengan lebih ketat, Cik Park memberi amaran terhadap sebarang usaha melakukan pembaharuan secara drastik, dengan berhujah ia akan memberi kesan kepada ekonomi negara yang sedang menghadapi tempoh sukar.
"Bagi memastikan sebuah ekonomi kreatif benar-benar bertunas, usaha ke arah mendemokrasikan ekonomi harus dicapai," ujarnya.
Sambil berjanji akan membina sebuah ekonomi 'kreatif' baru, Cik Park mengisyaratkan lebih banyak sokongan bagi perusahaan sains dan teknologi maklumat, dengan menyifatkannya sebagai "keutamaan" beliau. - AFP.

No comments:

Posting Terkini