Pages

Wednesday, February 13, 2013

Korea Utara lancar ujian nuklear terbesar


Korea Utara lancar ujian nuklear terbesar
SEOUL: Korea Utara semalam menjalankan ujian senjata nuklear paling besarnya sejauh ini, sambil mendakwa bahawa ia telah menggunakan alat "bersaiz kecil" bersejarah bagi ujian tersebut.
Bagaimanapun, tindakan Korea Utara itu mengundang kutukan kuasa dunia, termasuk satu-satu sekutu dan penaungnya, China.
Negara terasing yang berfahaman komunis itu berkata ujian nuklear bawah tanahnya yang ketiga - selepas dua ujian pada 2006 dan 2009 yang mendorong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenakan sekatan ke atasnya - adalah tindak balas langsung terhadap apa yang diistilahkannya sebagai "sikap permusuhan" Amerika Syarikat.

Dakwaan Korea Utara mengenai penggunaan alat bersaiz kecil pasti mencetuskan kebimbangan, khususnya berhubung keupayaan negara itu memasang kepala peledak nuklear pada misil balistiknya menyusuli kejayaannya melancarkan sebuah roket jarak jauh pada Disember lalu.
Pengesahan daripada agensi berita rasmi negara itu, Korean Central News Agency (KCNA), diterima selang tiga jam selepas alat-alat pemantau pergerakan seismik mengesan gegaran luar biasa pagi semalam di kawasan tapak ujian nuklear Punggye-ri, berdekatan sempadan negara itu dengan China.
Para pengamat berkata jadual ujian itu menarik perhatian kerana ia dilakukan menjelang ucapan tahunan Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, kepada Kongres bagi memulakan penggal keduanya.
Encik Obama mengutuk ujian tersebut dan menggesa diadakan tindakan antarabangsa yang "pantas" dan "berwibawa" ke atas Korea Utara, sedang Majlis Keselamatan PBB bersiap mengadakan mesyuarat tergempar.
Majlis Keselamatan PBB bertemu lewat malam tadi di New York bagi membincangkan tindakan terbarunya ke atas Korea Utara.
Ujian tersebut turut mengundang kecaman daripada Jepun dan Setiausaha Agung PBB, Encik Ban Ki-moon.
Ledakan nuklear yang dijalankan Korea Utara semalam dianggarkan sekuat enam hingga tujuh kiloton, kata jurcakap kementerian pertahanan Korea Selatan, Encik Kim MinSeok, kepada wartawan - lebih kuat berbanding dua ujian nuklear Korea Utara sebelum ini pada 2006 dan 2009.
Ini berbanding dengan ledakan senjata nuklear pertama sekuat 15 kiloton yang pernah dilakukan oleh Amerika ke atas bandar Hiroshima di Jepun pada 1945.
Encik Kim berkata adalah tidak jelas sama ada bahan uranium telah digunakan.
Ujian nuklear Korea Utara menghasilkan ledakan sekuat kurang satu kiloton, manakala ujian nuklear keduanya pula menghasilkan ledakan antara dua dengan enam kiloton, menurut Seoul.
Kuasa ledakan satu kiloton adalah bersamaan dengan 1,000 tan metrik bahan letupan TNT. - AFP.

No comments:

Posting Terkini