DUNGUN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meneliti Prosedur Operasi Standard (SOP)dalam mengendalikan tahanan, terutama ketika dalam perjalanan, bagi mengelakkan insiden tahanan lolos.
Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata antara perkara yang akan diteliti ialah jenis kenderaan dan juga bilangan anggota polis pengiring.
"Buat masa ini kita akan teruskan dengan SOP sedia ada," katanya kepada pemberita di sini Rabu.
Beliau diminta mengulas kejadian sembilan tahanan meloloskan diri dengan merampas van polis ketika dibawa dari Penjara Pulau Pinang ke mahkamah di Butterworth pada 7 Januari lepas.
Tahanan terbabit turut memukul sebelum menolak keluar empat anggota polis yang mengiringi mereka.
Mengulas lanjut, Ismail yang kecewa dengan kejadian itu, berkata insiden tersebut tidak sepatutnya berlaku jika anggota mematuhi SOP yang ditetapkan.
"PDRM akan melihat apa kelemahan yang berlaku dan membetulkannya supaya ia tidak berulang lagi...ini benda asas...lebih banyak kemungkinan yang berlakunya (insiden itu) berpunca dari kecuaian dan jika benar, kita akan dakwa anggota yang bertugas itu.
"Siasatan masih dijalankan dan jika terbukti berlaku kecuaian, saya nak anggota yang cuai itu diambil tindakan oleh jabatan...tiada maaf," katanya.
Pada masa sama beliau menegaskan kejayaan polis memberkas semula lima banduan terbabit sebagai bukti keupayaan sebenar pasukan itu.
Dalam kejadian itu dua diberkas pada hari yang sama, manakala dua lagi pada Ahad, iaitu tujuh hari selepas kejadian dan seorang pada keesokannya.
Dua lagi ditembak mati ketika cuba melarikan diri dengan sebuah kereta di Kampung Ibu, Bukit Mertajam pada Khamis lepas.
Polis kini memperhebatkan gerakan memburu dua lagi tahanan. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment