Encik Schmidt - yang syarikatnya mempunyai moto "Usah melakukan kejahatan" - sedang merancang melawat ke negara terasing itu bersama bekas gabenor New Mexico, Encik Bill Richardson, seorang veteran penyelesai masalah berhubung dengan Korea Utara.
Encik Richardson telah ke Korea Utara beberapa kali sejak 20 tahun lalu dan pernah terlibat dalam rundingan bagi membebaskan warga Amerika yang ditahan di negara itu.
Berita mengenai lawatan tersebut, yang disifatkan sebagai 'peribadi' oleh kededua Washington dan Seoul, tersebar selang beberapa minggu selepas Pyonyang mengesahkan penahanan seorang warga Amerika keturunan Korea dan berkata bahawa dia akan didakwa atas jenayah yang belum lagi ditentukan.
Pyongyang sebelum ini telah bersetuju menyerahkan para tahanannya kepada delegasi berprofil tinggi yang dipimpin oleh tokoh-tokoh seperti bekas presiden Amerika, Encik Bill Clinton, dan beberapa pemerhati berpendapat ia mungkin telah meminta penyertaan Encik Schmidt dalam kes ini.
Jurucakap Jabatan Negara Amerika, Cik Victoria Nuland, dengan jelas menyampaikan rasa kurang ghairah Washington terhadap misi itu dan memberitahu para wartawan bahawa kededua Encik Schmidt dan Encik Richardson "amat menyedari" pendirian tersebut.
"Secara jujur, kami tidak fikir jadual masanya akan membantu... memandangkan tindakan Pyongyang baru-baru ini," kata Cik Nuland, sambil menambah bahawa beliau sebenarnya merujuk kepada pelancaran roket jarak jauhnya pada bulan lalu.
Pyongyang menegaskan bahawa pelancaran itu sebagai satu misi saintifik yang bertujuan menempatkan sebuah satelit di angkasa lepas tetapi masyarakat antarabangsa melihatnya sebagai satu ujian misil balistik terselindung yang melanggar resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Cik Nuland berkata Encik Schmidt dan Encik Richardson akan berkunjung ke Korea Utara "secara tidak rasmi", sambil menambah bahawa "mereka tidak membawa sebarang mesej daripada kami". - AFP.
No comments:
Post a Comment