Pages

Saturday, January 5, 2013

Terminal baru di lapangan terbang di Madinah


JEDDAH: Kementerian Haji Arab Saudi akan membina sebuah terminal bagi jemaah di Lapangan Terbang Antarabangsa Putra Muhammad di Madinah tahun ini.
Ia adalah sebahagian daripada usaha bagi memenuhi keperluan jemaah haji dan umrah yang semakin meningkat.
Timbalan Menteri Pengangkutan dan Projek, Encik Sahel Al-Sabban, berkata terminal baru yang menelan belanja 30.14 juta Riyal ($9.87 juta) itu akan siap menjelang akhir tahun ini.
Projek pembesaran lapangan terbang Madinah itu akan meningkatkan kapasitinya kepada 8 juta penumpang pada fasa pertama dan 12 juta pada fasa kedua.

Projek itu termasuk pembinaan terminal baru meliputi kawasan seluas 138,000 meter persegi.
Ia akan mempunyai 18 pintu berlepas lengkap dengan jambatan udara yang menghubungkannya dengan pesawat, selain tempat parkir bagi 20 pesawat.
Encik Sahel juga berkata kementeriannya akan melaksanakan beberapa projek baru tahun ini, termasuk membina bangunan cawangan kementerian dan sebuah agensi untuk umrah di Makkah.
Projek baru ini dilaksanakan pada permulaan musim umrah dan akan berterusan selama lapan bulan, katanya.
Tahun lalu, lebih 5.5 juta jemaah menunaikan umrah.
"Ia meningkat 18 peratus berbanding 2011," kata Encik Sahel.
Sementara itu, projek landasan kereta api berharga AS$7 bilion ($8.6 bilion) yang akan menghubungkan Riyadh dengan Jeddah maju setapak lagi dengan perjanjian kontrak AS$72 juta ditandatangani di antara Dana Pelaburan Awam (PIF) dengan sebuah syarikat Amerika Syarikat di sini, kelmarin.
Syarikat terbabit, Fluor, akan menyediakan khidmat perunding pengurusan, termasuk menyelia kerja yang dilakukan kontraktor dan operasi ujian projek landasan kereta api itu sepanjang 84 bulan, lapor agensi berita Saudi (SPA).
Kontrak itu adalah sebahagian daripada rancangan yang diarahkan Raja Abdullah bagi melengkapkan infrastruktur kereta api negara itu.
Ia juga selaras dengan keputusan Majlis Menteri bagi membina landasan kereta api menghubungkan bahagian pantai barat dengan pantai timur negara itu.
Pengerusi Lembaga Syarikat Kereta Api Saudi (SAR), Enck Mansour Al-Maiman, berkata landasan itu akan bermula dari Pelabuhan Islam Jeddah ke Riyadh.
Ia akan disambung dengan landasan sepanjang 450 kilometer yang sudah sedia ada antara Riyadh dengan Dammam.
Landasan kedua sejauh 115 kilometer juga dirancang bagi menghubungkan Dammam dengan Jubail di Teluk Arab. - Agensi.

No comments:

Posting Terkini