Pages

Friday, January 4, 2013

JKR DIKETEPIKAN, IKRAM YANG SWASTA DIUTAMAKAN!



1.       Kejadian tanah runtuh yang berlaku pada 28/12/2012 yang lepas di Puncak Setiawangsa adalah suatu bencana alam yang menginsafi kita semua. Kesan dari kejadian tersebut telah menyebabkan kerosakan harta benda dan juga kebimbangan kepada penduduk persekitaran.

2.      Beberapa buah rumah mungkin terpaksa dirobohkan termasuk rumah dua (2) Ahli Parlimen bagi membolehkan kerja pembaikan dijalankan dari sebelah atas cerun.

3.           Pada peringkat ini keselamatan awam adalah perkara utama yang perlu diberi keutamaan oleh pihak berkuasa kerana sebarang pergerakan lanjut boleh mengakibatkan kegagalan yang lebih besar dan memberi kesan perumahan berdekatan yang terletak di atas dan di bawah cerun.


4.           Saya dapati apabila berlaku tanah runtuh, pihak yang akan dirujuk adalah IKRAM, mungkin dalam kes di Setiawanga ia adalah di bawah tanggungjawab DBKL. Seringkali akhbar merujuk IKRAM sebagai Institut  Kerja Raya Malaysia walhal IKRAM tidak ada kena mengenai dengan JKR kerana IKRAM adalah sebuah entiti swasta.  

5.           Saya berpendapat JKR perlu diberi peranan dan dirujuk di dalam membuat kenyataan mengenai tanah runtuh bagi mengelakkan terlalu banyak pihak yang membuat kenyataan yang bercanggah dan boleh menimbulkan kebimbangan kepada penduduk sekitar.

6.           Saya berpendapat ulasan oleh sesiapa juga hendaklah mengambil kira sejarah pembinaan cerun tersebut.  Saya difahamkan cerun tersebut telah dibina semenjak 20 tahun yang lalu oleh Pemaju Setiawangsa, Island & Penisular.

7.           Saya dapati cerun batuan setinggi 10 tingkat menegak (vertical) tersebut telah dibina dan diperkukuhkan menggunakan kaedah rock bolting kerana permukaannya yang berbatu. Ia bukannya tembok penahan (retaining structure) seperti yang disebut dalam media.

8.           Pihak Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR hendaklah diberi peranan dalam  memantau, memberi pandangan dan nasihat teknikal kepada pihak kerajaan dan pihak  berkuasa tempatan dalam perkara berkaitan tanah runtuh

9.           Pembaikan mungkin akan mengambil masa yang lama kerana pihak berkuasa perlu menentukan kaedah pembaikan yang sesuai dan jumlah pampasan yang mungkin perlu dibayar terutama kepada rumah yang perlu dirobohkan. Pihak mana yang perlu membiayai kos pembaikan juga adalah pekara yang perlu diputuskan.

10.       Saya mencadangkan pihak DBKL membuat kajian mengenai faktor yang menyebabkan kegagalan kepada cerun berusia 20 tahun tersebut iaitu:-

10.1    Mengenal pasti samada batuan yang terdapat di cerun tersebut  telah mengalami proses pencuacaan(weathering) dan tidak dapat menanggung bebanan walaupun telah diperkukuhkan dengan kaedah rock bolting.

10.2    Mengkaji kesesuaian kaedah rock bolting bagi jenis batuan yang terdapat di sekitar kawasan bercerun di Setiawangsa. Saya difahamkan  batuan yang terdapat di kawasan tersebut adalah dari jenis metamorfik.

10.3    Jabatan Jabatan Mineral & Geologi perlu dirujuk untuk mengetahui sifat batuan yang terdapat di kawasan tersebut

10.4    Garis Panduan Penyenggaraan Cerun JKR hendaklah dirujuk dan digunapakai di dalam penyenggaraan cerun diseluruh Negara.

11.       Sekiranya PR diberi peluang memerintah, kita akan pastikan suatu kajian yang komprehensif dilakukan terhadap stuktur tanah dan geologi batuan yang terdapat di kawasan Setiawangsa, Bukit Antarabangsa dan seluruh Negara yang sering berlaku tanah runtuh.


DATUK HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Naib Presiden PAS.

Nota :Rock Bolting adalah suatu kaedah yangmenggunakan besi tetulang yang ditanam di dalam batu bagi menghasilkan cengkaman yang mengukuhkan cerun tersebut. Kaedah tersebut adalah biasa digunakan di Malaysia dan di serata dunia.

1 comment:

Anonymous said...

Jab. Mineral & geosains malaysia (jmg) yg mempunyai geologist memainkan peranan penting dlm menentukan kestabilan cerun. Jkr cerun hanya berperanan utk 'design cerun' setelah meneliti cadangan dr geologist. Tapi realitinya tidak berlaku kerna para jurutera tidak mahu mendengar saranan geologist... Beberapa kejadian tanah runtuh yg berlaku baru2 ini membuktikannya.

Posting Terkini