Pages

Wednesday, November 14, 2012

Sokong murtad 'tafsiran jahat pencacai Umno'

ucapan kontroversi Nurul Izzah Anwar
MP Shah Alam Khalid Samad menjelaskan bahawa ucapan kontroversi Nurul Izzah Anwar dalam satu forum pada 3 November lalu adalah berhubung prinsip keyakinan terhadap agama Islam dan "tafsiran jahat" untuk menyokong murtad oleh "pencacai Umno".

Katanya, naib presiden PKR itu menegaskan perkara tersebut apabila ditanya dalam forum "Negara Islam: Versi Mana? Tanggungjawab Siapa" itu, namun difitnah sebagai seseorang yang menyokong murtad.

Beliau yakin bahawa fitnah tersebut digembar-gemburkan untuk menunjukkan bahawa bapa Nurul Izzah, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga keluarga ketua umum PKR itu "penganut Islam liberal" dan juga bagi menggambarkan bahawa PAS tidak mampu menghalang perkara itu.

"Beliau menjawab dalam masa terhad, ayat-ayatnya banyak tergantung dan oleh itu jawapan kepada soalan (tersebut) dieksploitasi oleh golongan yang berkepentingan," katanya.


Fitnah itu juga bertujuan agar golongan Melayu mengundi Umno kata Khalid lagi dalam tulisannya di blog khalidsamad.com hari ini.

Jelasnya, Nurul Izzah dalam forum tersebut "menzahirkan kehairanan" apabila diminta menjelaskan – dalam tempoh masa terhad – sama ada kebebasan beragama juga terpakai kepada orang Melayu.

"Walaupun soalannya berhubung kebebasan beragama namun yang difahami Izzah adalah persoalan berhubung prinsip ayat al-Quran berkenaan.

"Itulah sebabnya Izzah seolah-olah menzahirkan kehairanan terhadap soalan tersebut dengan respon: Bagaimana anda boleh menanyakan kepada saya atau kepada sesiapa pun... Bagaimanakah sesiapa boleh mengatakan, 'Maaf, ini (maksudnya prinsip dari ayat ini) hanya untuk orang bukan Melayu?'

"Bagi beliau, pengajaran dari semua ayat al-Quran, termasuk yang disebut terjemahannya, adalah relevan dan perlu diguna pakai untuk semua, bukan hanya untuk golongan bukan Melayu sahaja," katanya.

Khalid berkata, kenyataan Nurul Izzah itu benar dari sudut umum kerana al-Quran merupakan hidayah untuk semua manusia.

"Untuk menyatakan ayat ini adalah hanya untuk bukan Islam semestinya bercanggah dengan kefahaman umum ini.

"Persoalan ini terus ditekankan oleh Izzah denga mengatakan 'Ia (prinsip ayat berkenaan) mesti sama diguna pakai (untuk Melayu dan bukan Melayu). Inilah asas. Di dalam al-Quran, tiada rujukan khusus untuk (orang) Melayu. Inilah apa yang sepatutnya'," kata Khalid lagi.

Tambahnya, dalam jawapan singkat itu, Nurul Izzah juga menegaskan bahawa ayat al-Quran itu tidak dikecualikan bagi orang Melayu.

"Malahan, seperti disebutnya, perkataan "Melayu" tiada di dalam al-Quran. Saya tidak tahulah sekiranya ada Melayu yang beranggapan bahawa adanya ayat yang berbunyi 'Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu' dalam al-Quran," katanya.

No comments:

Posting Terkini