LONDON: Berdozen-dozen jambangan bunga, poster dan kad ditinggalkan di gerbang masuk Istana Kensington, sejak kelmarin, sedang orang ramai memperingati ulang tahun ke-15 kematian Puteri Diana.
Para pelancong, pengucap selamat dan orang yang berlalu di kawasan itu mengambil gambar dan memberikan ucapan penghormatan di kediaman keluarga diraja di London dan kediaman rasmi mendiang Puteri Diana, sejak 1981 sehingga kematiannya, sama seperti yang mereka lakukan 15 tahun yang lalu.
Puteri Diana meninggal dunia pada usia 36 tahun pada 31 Ogos 1997, bersama teman lelakinya, Dodi Fayed, mencetuskan kehibaan di kalangan rakyat Britain.
Dalam masa beberapa jam sahaja, jambangan bunga menyelimuti lantai gerbang depan istana tersebut seperti sebuah permaidani dan sebahagian besar rakyat Britain tidak segan silu mempamerkan kesedihan mereka.
Dalam salah satu detik-detik penentuan semasa menyandang jawatannya, perdana menteri Britain ketika itu, Encik Tony Blair, menyifatkan Puteri Diana sebagai "puteri rakyat", sedang negara tersebut bersedih menyambut berita kematiannya.
Lima belas tahun selepas itu, Cik Maria Scott, 41 tahun, yang tinggal di Newcastle dan melawat tugu peringatan sementara itu, berkata beliau telah melakukan perjalanan itu setiap tahun sejak kematian Puteri Diana.
"Diana harus dikenang kerana beliau adalah ibu kepada raja masa depan kita dan beliau tidak harus dilupakan," kata Cik Scott. - AFP.
- Foto AP
No comments:
Post a Comment