Pages

Wednesday, July 25, 2012

T. Ananda Krishnan dan pampasan AS$300 juta

INDIVIDU kedua terkaya di Malaysia, Encik T. Ananda Krishnan, semalam meminta Mahkamah Tinggi Singapura melaksanakan perintah dikenakan oleh pusat timbang tara agar bekas rakan niaganya dari Indonesia, Encik James Riady, membayar pampasan AS$300 juta.
Jumlah itu diberikan kepada Encik Krishnan (gambar kiri) pada 2010 oleh Pusat Timbang Tara Antarabangsa Singapura, yang dibentuk bagi menghuraikan pertelingkahan perniagaan yang rumit, setelah perniagaan televisyen berbayar yang diusahakan kedua- dua peniaga itu runtuh.
Encik Krishnan merupakan pemilik empayar komunikasi Astro di Malaysia, manakala Encik Riady merupakan anak pengasas Kumpulan Lippo di Indonesia, Encik Mochtar Riady, yang memiliki aset termasuk media dan khidmat kewangan.

Encik Krishnan, yang diwakili peguam kanan Britain, Encik David Joseph, menegaskan di mahkamah semalam bahawa Encik Riady perlu membayar jumlah itu kerana Lippo gagal menenuhi tarikh akhir bagi merayu keputusan pusat timbang tara itu.
"Jumlah itu adalah muktamad dan harus dilaksanakan di bawah undang-undang Singapura. Oleh sebab ia muktamad dan sah dari segi undang- undang, mahkamah harus memaksanya,'' tegas Encik Joseph seperti ditukil laporan AFP.
Pertelingkahan itu berpunca daripada kegagalan usaha sama Lippo dan Astro, PT Direct Vision, menyediakan firma televisyen berbayar di Indonesia pada 2005.
Astro meminta agar mendapat balik dana yang dilaburkan dalam usaha sama itu berdasarkan undang-undang Pusat Timbang Tara Antarabangsa Singapura.
Tribunal timbang tara itu memberikan Astro lima pampasan bernilai AS$300 juta antara Mei 2009 hingga Ogos 2010.
Namun, Lippo menentang pampasan itu dengan sebab menyatakan bahawa tribunal itu tidak mempunyai bidang kuasa memberikan pampasan itu.
Lippo menyatakan Astro telah berhenti menyediakan khidmat satelit sejak Oktober 2008 menyebabkan "berpuluh ribuan pengguna Indonesia tersadai".
Encik Krishnan mempunyai harta sebanyak AS$9.9 bilion. Selain media, beliau mempunyai perniagaan dalam bidang minyak dan gas.
Bapa Encik Riady pula disenaraikan sebagai lelaki ke-38 terkaya di Indonesia, dengan nilai harta sebanyak AS$650 juta, menurut majalah Forbes.
Perbicaraan itu yang dimulakan kelmarin akan berakhir hari ini.

Popular Posts

No comments:

Posting Terkini