Pages

Wednesday, July 25, 2012

Dagangan dua hala S'pura-Turkey lonjak 78% tahun lalu

TINGKATKAN HUBUNGAN EKONOMI: (Dari kiri) Timbalan Presiden Turkish Exporters Assembly, Encik Mustafa Cikrikcioglu; Duta Besar Turkey ke Singapura, Encik Taner Seben; Menteri Ekonomi Turkey, Encik Zafer Caglayan; Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan Singapura, Encik S Iswaran; Duta Besar Singapura ke Turkey, Encik Chandra Das; dan Timbalan Pengerusi SBF, Encik Teo Siong Seng. - Foto SBF
SEMAKIN banyak syarikat Singapura seperti syarikat kasut Charles & Keith, Food Empire dan Sitra Furniture telah menembusi pasaran Turkey.
Malah, jumlah dagangan dua hala antara Singapura dengan Turkey melonjak sebanyak 78.6 peratus kepada $2.2 bilion tahun lalu berbanding 2010.

Dalam Forum Perniagaan Singapura- Turkey kelmarin, Timbalan Pengerusi Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF), Encik Teo Siong Seng, menyifatkan prestasi ekonomi Turkey sejak lapan tahun lalu sebagai "amat mengagumkan" dan tahun lalu, ia mencatatkan pertumbuhan Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) sebanyak 9 peratus.
Beliau menambah bahawa lokasi strategik antara persimpangan Asia dengan Eropah memberikan negara itu akses yang tidak boleh ditandingi ke dalam pasaran Eropah, Timur Tengah dan Afrika Utara.
Rombakan Turkey daripada sebuah ekonomi pertanian kepada gergasi perindustrian telah menyumbang kepada kedudukannya sebagai pengeluar utama di dunia bagi pakaian dan tekstil, automotif dan peralatan auto, keluli dan besi, perkapalan dan peralatan pengangkutan, elektronik pengguna dan perkakas rumah.
Turkey mengeksport produknya ke lebih 200 negara dan jumlah dagangannya meningkat 43 kali daripada AS$7 bilion ($8.82 bilion) pada 1979 kepada AS$300 bilion pada 2010.
Bagi membantu para peniaga setempat yang ingin meneroka peluang niaga di Turkey, SBF dan International Enterprise (IE) Singapore mengadakan satu misi dagangan ke Turkey yang disertai seramai 27 wakil perniagaan Mei lalu.
Ia bersempena dengan lawatan Timbalan Perdana Menteri Tharman Shanmugaratnam ke sana dan pembukaan pejabat luar negara IE di Istanbul.
"Kebanyakan anggota misi dagangan kami, yang melawat negara itu buat pertama kali, amat kagum dengan perkembangan ekonomi Turkey sejak beberapa tahun lalu dan potensi yang ditawarkannya.
"Beberapa anggota misi dagangan kami sedang dalam perbincangan dengan para peniaga Turkey bagi berusaha sama dalam projek-projek.
"Ia termasuk membentuk sebuah pejabat cawangan di Turkey, menyediakan khidmat dan membeli tanah bagi membangunkan kemudahan di sana,'' ujar Encik Teo, dalam forum yang dihadiri 200 peniaga daripada pelbagai sektor yang turut diberi peluang menyertai sesi pemadanan perniagaan dengan para peniaga Turkey.
Dalam forum itu, Menteri Ekonomi Turkey, Encik Zafer Caglayan, memberikan maklumat terkini mengenai negaranya serta menggalak syarikat Singapura memanfaatkan skim insentif pelaburan mereka.
Satu pakej insentif baru diperkenalkan bagi mengukuhkan daya saing Turkey di arena antarabangsa dan ia termasuk pengecualian cukai kastam, pemotongan cukai, potongan sumbangan majikan bagi keselamatan sosial dan peruntukan lokasi bagi pelaburan.

Popular Posts

No comments:

Posting Terkini