- Foto AFP
WASHINGTON: Kemarau di wilayah tanaman bijirin Amerika Syarikat, atau kawasan Midwest, menjadi semakin buruk pada kadar yang tidak pernah dilihat sebelum ini dan menimbulkan kebimbangan harga makanan mungkin melonjak jika hasil tanaman di kawasan penghasilan bijirin utama dunia itu terhapus.
"Perkembangam D3 atau keadaan cuaca teruk menjadi bertambah buruk dengan pantas dan kita beralih daripada 11.9 peratus kepada 28.9 peratus dalam masa hanya seminggu," kata Encik Brian Fuchs, pakar kaji iklim dan penulis bagi projek Pemantauan Kemarau.
"Bagi saya yang mengkaji kemarau, ia sangat pantas. Kami telah melihat pelbagai perkara berlaku dengan keadaan kemarau ini, yang tidak pernah berlaku, termasuk pantasnya cuaca menjadi kering," katanya lagi.
Hampir dua pertiga benua Amerika kini mengalami masalah kemarau. Ia merangkumi kawasan paling luas terjejas sejak projek Pemantauan Kemarau dimulakan pada 1999.
"Jika anda mengikuti harga bijirin di Amerika, ia menggambarkan kekurangan bekalan yang dijangka berlaku dan kenaikan harga.
"Setelah itu, anda akan melihat kenaikan harga turut berlaku kepada barangan lain yang menggunakan tanaman bijirin: makanan lembu, pembikinan etanol dan makanan lain," kata Encik Fuchs.
Tambahnya, di beberapa kawasan pendalaman, pihak pembekal air bandaran kini bercakap tentang mengenakan sekatan wajib kerana mereka kini melihat paras air menurun secara mendadak dan menyebabkan mereka khuatir mereka tidak dapat memenuhi permintaan pelanggan.
"Kemarau ini dijangka berterusan sekurang-kurangnya beberapa bulan akan datang dan keadaan tidak sesuai untuk melihat sebarang perubahan meluas," kata Encik Fuchs lagi.
Pentadbiran Presiden Amerika, Encik Barack Obama, telah membuka kawasan tanah Amerika yang dilindungi untuk membantu petani dan peladang yang terjejas dek kemarau dan menggalakkan syarikat insurans tanaman tidak mengenakan bayaran faedah sebulan.
Pihak berkuasa mengatakan kemarau itu akan menyebabkan harga makanan naik kerana 78 peratus hasil tanaman jagung Amerika dan 11 peratus tanaman kacang soya terjejas dan Amerika merupakan pengeluar terbesar tanaman-tanaman itu. - AFP.
No comments:
Post a Comment