Monday, May 7, 2012
Demam pilihan raya di Eropah
PARIS: Rakyat di beberapa negara Eropah semalam keluar mengundi bagi menentukan masa depan negara masing-masing berlatarkan suasana ekonomi muram di rantau itu.
Warga Perancis membuat pilihan antara presiden kini, Encik Nicolas Sarkozy, dan pemimpin sayap kiri, Encik Francois Hollande, dalam pusingan akhir pilihan raya presiden negara itu.
Lebih 30 peratus daripada lebih 46 juta pengundi Perancis keluar mengundi dalam masa empat jam pertama undi dijalankan.
Undi pusingan akhir itu dijangka melihat Encik Sarkozy menjadi pemimpin negara Eropah ke-11 terpaksa berundur akibat krisis ekonomi rantau itu dan menjadikan Encik Hollande presiden Sosialis pertama Perancis dalam masa 17 tahun.
Disokong gelombang kemarahan terhadap kegagalan Encik Sarkozy menangani masalah pengangguran dalam tempoh lima tahun beliau menjadi presiden, Encik Hollande dipercayai berada antara empat hingga lapan mata di hadapan Encik Sarkozy berdasarkan tinjauan-tinjauan pendapat beberapa hari sebelum undi bermula.
Walaupun ada tanda-tanda Encik Sarkozy berjaya merapatkan jurang sokongan antara mereka, Encik Hollande tetap dilihat sebagai calon berkemungkinan besar menang.
Beliau telah menggariskan program menyeluruh Januari lalu berdasarkan usul menaikkan kadar cukai, terutama bagi golongan berpendapatan tinggi, bagi membiayai perbelanjaan negara dan mengehadkan defisit awam.
Selain programnya itu, beliau meraih manfaat daripada sentimen anti-Sarkozy, yang sebahagiannya berpunca daripada gaya peribadi Encik Sarkozy yang kadangkala angkuh dan suka menunjuk-nunjuk.
Sebahagian warga Perancis juga berasa marah kerana kesuraman ekonomi yang turut menjatuhkan pemimpin dari Britain hingga Portugal.
Sementara itu, warga Greece pula mengundi dalam pilihan raya umum yang keputusannya mungkin mengubah sistem politik negara itu, yang kini dikuasai dua parti utama, Parti Pasok dan Pasti Demokrasi Baru (ND).
Setelah dua tahun terpaksa menjalani langkah berjimat cermat, tinjauan pendapat di Greece menunjukkan warga Greece bersedia menghukum dua parti utama itu kerana menjanjikan lebih banyak penjimatan sebagai ganti suntikan dua dana bantuan bernilai 240 bilion euro ($391 bilion).
Separuh undi dijangka diberi kepada 30 parti kecil negara itu, menimbulkan kemungkinan rundingan panjang bagi membentuk pemerintah campuran atau pilihan raya baru diadakan.
Di Italy pula, penduduknya semalam mengundi dalam pilihan raya tempatan pertama sejak Perdana Menteri Mario Monti dipilih bagi menyelamatkan negara itu daripada krisis beban hutang.
Penduduk Armenia juga mengundi dalam pilihan raya umum yang dijangka menjadi ujian paling besar negara bekas Soviet itu sejak pilihan raya presiden pada 2008, yang berakhir dengan pertumpahan darah. -- AFP, Reuters.
Labels:
Dunia,
piliharan raya,
Politik
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment