Pages

Monday, August 8, 2011

DAP bersiap sedia jika PRU diadakan hujung tahun ini


DAP sedang bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan pilihan raya umum diadakan pada bila-bila masa, khususnya jika Parlimen dibubarkan akhir tahun ini.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata krisis ekonomi Amerika Syarikat yang turut menjejaskan iklim ekonomi Malaysia mungkin akan memaksa kerajaan Barisan Nasional untuk mengadakan PRU lebih awal.

“Lebih-lebih lagi perhimpunan aman Bersih 2.0 serta pendedahan mengenai proses pilihan raya yang tidak bersih akan memberi tekanan kepada Datuk Seri Najib Razak untuk mengadakan PRU lebih awal,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, DAP telah membuat persiapan awal termasuk mengadakan rundingan pembahagian kerusi dengan parti-parti komponen Pakatan Rakyat.

Selain itu, DAP juga mengadakan bengkel dan seminar di kalangan pemimpin dan ahli untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi PRU ke-13 akan datang.

Guan Eng berkata tohmahan dan fitnah terhadap DAP yang semakin menjadi-jadi membuktikan UMNO dan BN semakin kehilangan arah dalam usaha mengekalkan kuasa mereka.



Menurutnya, fitnah perkauman yang disebarkan dalam media termasuk klip-klip video di internet amat berbahaya kerana ia boleh memberi kesan buruk terhadap hubungan antara kaum.

Katanya, tohmahan kononnya DAP anti-Melayu oleh UMNO dan DAP anti-Cina oleh MCA menunjukkan taktik kotor BN untuk membangkitkan kebencian rakyat terhadap parti itu yang menolak perkauman.

“Saya telah katakan bahawa saya bukan anti-Melayu atau anti-Cina, saya hanya anti-rasuah,” katanya.

Dalam sidang akhbar yang sama, Guan Eng mengumumkan penyertaan tokoh akademik Prof Dr Ariffin Omar ke dalam DAP sebagai usaha menguatkan lagi parti yang terbuka kepada semua kaum.

“Usaha menarik ahli bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi menarik mereka dari kalangan Melayu. Kita telah dan akan terus berusaha untuk mengajak semua orang termasuk Melayu menyertai DAP.

“Kita faham betapa sukarnya usaha menarik orang Melayu kerana lebih 50 tahun propaganda UMNO dan BN telah dibuat untuk menakutkan orang Melayu daripada menyertai mana-mana parti yang memperjuangkan hak dan peluang saksama untuk semua.

“Kita perlu berusaha lebih gigih lagi untuk memecahkan tembok penghalang perpaduan ini,” tambah beliau. – Roketkini  




No comments:

Posting Terkini