KUALA LUMPUR: Kompilasi kartun karya Zunar berjudul ‘Even A Pen Has a Stand’ dilancarkan dalam suasana meriah di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, malam tadi.
Tidak seperti September tahun lalu apabila beliau ‘gagal’ menghadiri pelancaran kompilasi bukunya, ‘Cartoon-O-Fobia’ kerana ditahan polis, Zunar atau nama sebenarnya, Zulkiflee Anwar al Haquekali kali ini hadir dengan lilitan tangan Bersih.
Majlis itu turut dihadiri Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar; bekas Timbalan Presiden KEADILAN, Syed Husin Ali; Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Saharin atau Chegubard dan ramai pimpinan badan bukan kerajaan (NGO).
Ia amat bermakna dengan kehadiran Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said di tengah-tengah gelora kezaliman dan tekanan pihak berkuasa terhadap penganjur dan penyokong Himpunan Bersih 9 Julai ini.
Acara itu dimulai dengan ucapan pelbagai pihak termasuk Pak Samad; wakil Kelab Kartunis Indipenden, Ronasina, Nurul Izzah dan Zunar sendiri.
Suasana bertukar gamat apabila Zunar ketika memberi ucapan turut membawa peralatan melukis, antaranya botol dakwat dan botol pencelup berus dan mengakui ia memberi ilham untuk tajuk karya terbaru beliau.
“Jika pen pun boleh mempunyai tempat berdiri, mengapa manusia sebaliknya?” kata beliau.
Ketika menerang penggunaan dakwat dalam melukis kartunnya, beliau sempat menyindir Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali apabila menyatakan: “Saya guna dakwat Cina dan dakwat India. Tak faham kenapa tiada dakwat Melayu. Ibrahim patut perjuangkan!”
Karya terbaru Zunar itu adalah kompilasi karya sejak 1974 yang turut menceritakan perjalanan hidup beliau dan proses kematangan dalam berkarya.
Ia adalah terbitan keempat Syarikat Kini Books Sdn Bhd yang dijual dengan harga RM25 dan menjadi satu-satunya buku karya Zunar yang belum diharamkan. Kebanyakan karya Zunar diharamkan atas alasan ia ‘menjejaskan ketenteraman awam’.
No comments:
Post a Comment