AMPANG: Pemimpin Ikhwan Al-Muslimin Kuwait, Dr Tareq Mohammed Al-Suwaidan berkata Islam sendiri menganjurkan tradisi demonstrasi atau perhimpunan aman, sekaligus menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa ia menyalahi hukum.
“Dalam Islam sendiri ada tradisi demonstrasi. Demonstrasi pertama dalam sejarah Islam ialah pada hari ketiga perisytiharan negara Islam oleh Nabi Muhammad (SAW) ketika berhijrah ke kota Madinah.
“Muaz Ibnu Umair mengumpulkan orang Islam untuk mengalukan ketibaan Muhammad. Mereka bernyanyi dan mengalu-alukan ketibaan baginda. Inilah demonstrasi,” jelas Dr Tareq yang juga jurucakap Ikhwan Al-Muslimin Kuwait.
Beliau yang kini dalam rangka lawatan kerja selama 3 minggu ke Malaysia, berkata demikian ketika ditemui dalam satu program di sebuah hotel di sini, 20 Julai.
Menurut Dr Tareq, beliau berpendapat demonstrasi anjuran Bersih pada 9 Julai lalu, hanya proses biasa yang dilakukan rakyat untuk memastikan sistem pilihan raya di negara ini bebas, adil dan bersih.
“Mereka (rakyat) tidak boleh dirempuh (penguasa).
“Saya ada berjumpa (Datuk Seri) Anwar, dia cedera akibat demonstrasi itu dan pengawal peribadinya luka teruk. Saya ketawa. Ini kan Malaysia, sebuah negara maju. Kamu tak boleh mempunyai rakyat yang maju tanpa sistem demokrasi yang bebas dan bersih,” kata Dr Tareq.
Ketika ditanya berhubung hadis dari sahih riwayat Muslim mengenai ketaatan kepada pemimpin, yang seringkali dijadikan modal oleh ‘ulama Umno’, Dr Tareq menjelaskan ia bergantung kepada keadaan.
“Hadis Imam Muslim itu benar. Tetapi banyak hadis dan riwayat dari Sahabat yang merakamkan sabda Nabi Muhammad bahawa perkara ini sebenarnya bergantung kepada keadaan.
“Jika kerajaan menjalankan kewajipannya sebagai pemerintah dan menyelesaikan hak rakyat, maka rakyat perlu patuh,” kata Dr Tareq merujuk peristiwa teguran Salman Al Farisi terhadap Saidina Umar.
Ketika ditanya tentang pandangan perbicaraan kes fitnah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau berpendapat kes itu kini menjadi bahan ketawa dunia.
“Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad disanjungi di dunia Arab. Namun berhadapan kes fitnah dan perbicaraan terhadap Anwar, ia menjadi tuduhan yang melucukan. Ia menjadi bahan ketawa.
“Dalam sebuah sistem yang korup kita tidak akan mendapat keadilan. Bagaimana keadilan akan muncul jika para hakim berada dalam poket pemerintah?,” kata Dr Tareq.
No comments:
Post a Comment