Pages

Wednesday, June 29, 2011

Manuty: ‘Hentikan tekanan terhadap Himpunan Bersih’

Warta Kerajaan Rakyat - PETALING JAYA: Sungguh mengaibkan. Umno-Barisan Nasional (BN) yang telah mengurus negara hampir selama 54 tahun, masih menggunakan pendekatan ugutan dan menakut-nakutkan rakyat bagi menghalang Perhimpunan Bersih, kata Ketua Penerangan PKR Dr Muhammad Nur Manuty.
Beliau berkata, segala ancaman dan tekanan pemerintah BN terhadap aktivis perhimpunan ini adalah manifestasi dari ketakutan dan kecemasan melulu mereka kepada keberanian rakyat dalam menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap sistem pilihan raya negara ini.

“Lojiknya, selepas sekian lama mentadbir negara dan sistem pilihan raya pula memang dijalankan secara tidak telus dan adil, Umno-BN seharusnya menerima pandangan dan suara rakyat ini secara jantan dan berjiwa besar,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tegas beliau, “kritikan rakyat terhadap kaedah pilihanraya diurus di negara ini terlalu banyak rasionalnya. SPR (Suruhanjaya Pilihanraya) sendiri berulang kali menyatakan bahawa sistem yang ad memang banyak kelemahannya. Malah, mengakui tidak berupaya memperbaikinya berasaskan peruntukan undang-undang yang sedia ada.
“Lebih jauh, persepsi rakyat kini, SPR bukan sahaja banyak kelemahan, malah amat ketara menunjukkan sikap memihak dan gagal mengurus undi rakyat secara telus, adil dan meyakinkan,” terang beliau.
Menurutnya, PKR kesal terhadap tindakan menyekat dan menangkap para aktivis Perhimpunan Bersih yang sedang dilakukan sekarang.
“PKR juga kecewa dengan kaedah pihak berkuasa dan instrumen pemerintah yang menggunakan pendekatan melabel kelompok rakyat yang menyokong perhimpunan secara aman,” katanya.
Lebih buruk katanya, ada pula media pendokong Umno yang menggunakan pendekatan ekstremis agama dan rasis dalam usaha mereka menyekat suara rakyat ini.
Ideologi komunis
“Dalam hal ini tindakan pemerintah menahan 30 aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) serta menuduh mereka cuba menghidupkan semula ideologi komunis adalah tindakan terburu-buru dan cemas yang melulu,” ujar beliau.
Muhammad Manuty berkata, PKR menyokong tuntutan Perhimpunan Bersih yang dirancang teliti supaya berlangsung secara aman pada 9 Julai ini.
“Adalah menjadi hak asasi rakyat untuk berhimpun secara aman dan menyuarakan hasrat mereka sesuai dengan apa yang ada di dalam perlembagaan,” tegasnya.
Beliau berkata, kenyataan Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam yang menyeru pihak berkuasa membenarkan Perhimpunan Bersih ini seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan adalah amat dipersetujui dan disokong.
Katanya, lapan tuntutan Perhimpunan Bersih itu adalah suara hati nurani rakyat yang sudah sekian lama disuarakan melalui pelbagai saluran.
“Sekiranya ia dilaksanakan sepenuhnya, sudah pasti negara dapat mewujudkan sistem pemilihan kepimpinan negara yang lebih utuh, dipandang tinggi oleh rakyat dan dihormati masyarakat antarabangsa.
“Ini akan mewujudkan budaya masyarakat madani (civilized society) ke arah negara yang lebih maju, adil dan makmur,” katanya.
“Anehnya, jika pilihan raya yang bersih akan menguntungkan kesemua pihak – pemerintah dan yang diperintah, mengapa pula Umno terlalu takut dengan pilihan raya yang bersih?,” tanya beliau.



No comments:

Posting Terkini