Saturday, March 19, 2011
Jakarta jangka banyak lagi ancaman 'bom buku'
JAKARTA: Polis Indonesia semalam berkata mereka menjangka banyak lagi 'bom buku' di sini, selepas empat bom seperti itu dihantar kepada tokoh-tokoh Islam sederhana dan seorang pegawai antipengganasan.
Bom terbaru, yang disembunyikan di dalam sebuah buku yang dilubangkan, ditemui kelmarin di rumah seorang tokoh muzik, Ahmad Dhani, yang terkenal kerana lagu-lagunya yang membantah fahaman pelampau Islam.
'Kami sedang memantau penyebaran bom buku ini,' kata jurucakap polis Jakarta, Encik Baharudin Djafar.
'Polis sedia bertindak lebih awal dan kami mengharap orang ramai melaporkan kepada kami jika mereka ada menerima bungkusan yang mencurigakan,' katanya.
Selasa lalu, polis menemui tiga bom buku yang salah satunya meletup hingga mengakibatkan empat orang cedera.Sebuah bungkusan dialamatkan kepada seorang tokoh Islam liberal terkenal yang menyokong fahaman majmuk dan toleransi agama, Encik Ulil Abshar Abdalla.
Bom lain dihantar kepada bekas pegawai polis pencegah pengganasan, Encik Goris Mere, dan pengerusi pertubuhan belia Pemuda Pancasila, Encik Yapto Suryosumarno.
Presiden Susilo Bambang Yudhoyono kelmarin berkata beliau telah mengarahkan Agensi Perisikan Nasional, polis dan tentera melakukan penyiasatan dan 'jangan beri peluang kepada sesiapa menggugat keadaan keselamatan ini'.
Negara majoriti Islam dengan 240 juta penduduk itu digegarkan satu siri pengeboman yang dilancarkan jaringan pengganasan serantau, Jemaah Islamiyah, sejak beberapa tahun kebelakangan, termasuk serangan di Bali pada 2002 yang telah membunuh 202 orang.
Seorang pegawai antipengganasan peringkat tinggi Indonesia Rabu lalu berkata Jemaah Islamiyahlah dalang bom buku itu.
Sementara itu, polis menyoal siasat sekurang- kurangnya 20 orang bagi mengenal pasti pengirim bom-bom itu bagi memastikan sama ada bom itu angkara orang yang sama atau kumpulan, kata Encik Djafar kelmarin.
'Bom ini buatan sendiri. Pembikinnya mungkin seorang profesional kerana bungkusan itu rapi dan baik,' kata Encik Djafar. -- AFP, Agensi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment