Monday, March 14, 2011
Amaran tsunami: Warga Sabah, Terengganu diarah pindah
Warta Kerajaan Rakyat - KOTA KINABALU: Keadaan panik berlaku di Kampung Tanjung Aru Lama, Sabah, dekat sini dan Kampung Baru Pulau Redang, di Kuala Terengganu, berikutan kebimbangan tsunami melanda.
'Kami diarahkan polis berpindah ke dewan tiada dinding tetapi kami tidak dibantu sesiapa pun, tiada tilam, selimut dan makanan ... yang kami bawa hanyalah kanvas dan kain batik untuk menahan diri daripada sejuk,' kata Cik Najmah Alias, 26.
Beliau antara kira-kira 30 penduduk Kampung Tanjung Aru Lama, dekat sini yang terpaksa berpindah ke dewan orang ramai kampung berkenaan berikutan amaran tsunami, pada malam Jumaat lalu.
Cik Najmah bersama ibunya, Cik Atijah Waja, 55, dan 10 anggota keluarga berpindah dari rumah mereka di atas air ke dewan berkenaan selepas diarahkan anggota polis bagi mengelak kejadian tidak diingini berikutan gempa bumi 9.0 skala Richter di timur laut Jepun yang mencetuskan tsunami sehingga setinggi 10 meter Jumaat lalu.
Menceritakan detik itu, Cik Najmah berkata polis menggunakan alat pembesar suara meminta penduduk segera berpindah ke dewan kira-kira 7 malam pada Jumaat lalu.
Di Kuala Terangganu, suasana tenang lebih 800 penduduk di Kampung Baru Pulau Redang, di sini, bertukar gempar dan kelam kabut apabila mereka tiba-tiba diarahkan berpindah ke kawasan lebih tinggi berikutan kebimbangan tsunami melanda pulau peranginan itu.
Berikutan arahan yang disampaikan pihak berkuasa itu, ada antara penduduk berpindah ke Masjid Kampung Baru Pulau Redang bermula kira-kira 7.30 malam dan sebahagian lagi menyelamatkan diri ke kawasan Berjaya Spa Resort.
Pegawai dan anggota polis serta dibantu Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) terpaksa menjelajah ke setiap kawasan penempatan penduduk untuk mengarahkan penghuni di pulau peranginan itu berpindah ke kawasan lebih tinggi.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Encik Ladin Awang, berkata sepasukan pegawai dan anggota polis serta pasukan JPA3 mengarahkan semua penduduk berpindah ke kawasan lebih tinggi kerana dibimbangi tsunami melanda.
'Kita dimaklumkan pengurusan Berjaya Redang juga melarang pelancong berada di pantai berikutan dikhuatiri tsunami akan melanda di pulau peranginan itu,' katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment