Pages

Thursday, January 13, 2011

Pilihan Raya Umum Selepas September 2011

Pilihan raya mungkin suku akhir 2011

Najib mahu projek transformasi ekon tunjuk hasil



KUALA LUMPUR: Pentadbiran Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, dipercayai sedang menimbangkan kemungkinan mengadakan pilihan raya umum tergemparnya hanya pada suku keempat tahun ini.

Ini dikatakan bagi membolehkan projek-projek transformasi ekonomi di negara itu membuahkan hasil, meskipun pendedahan daripada sumber-sumber dalaman parti sebelum ini pernah menyatakan bahawa ia mungkin diadakan dalam enam bulan pertama tahun ini, lapor sebuah laman berita tempatan, semalam.

Kelmarin, Datuk Seri Najib mengumumkan 19 lagi projek permulaan di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang akan menjana pelaburan hampir RM67 bilion ($28.3 bilion), di samping menambah Hasil Kasar Negara (GNP) sebanyak RM36 bilion, serta mewujudkan 35,000 pekerjaan baru di negara itu.


Sebanyak 18 projek telah diumumkan sejak ETP dilancarkan pada 25 Oktober lalu.

Pertimbangan itu dilihat hasil pertemuan Datuk Seri Najib dengan para ahli parlimen (AP) Barisan Nasional (BN) di sini hujung minggu lalu.

Para AP BN dan pegawai Umno yang mengadakan pertemuan dengan beliau memberitahu bahawa presiden Umno itu lebih cenderung mengadakan pilihan raya umum ke-13 hanya selepas projek besar seperti MRT dan pembangunan Sungei Besi dimulakan.

Ditanya sama ada pertemuan itu boleh diambil kira sebagai satu petanda pilihan raya umum ke-13 akan diadakan tidak lama lagi, Datuk Seri Najib, pada sidang media Sabtu lalu, berkata usaha tersebut sebahagian daripada proses transformasi politik yang telah dimulakan.

'Kami ambil keputusan (ini) di mana saya umumkan dalam Perhimpunan Agung Umno. Kami akan lancarkan program yang berbentuk transformasi politik bagi menunjukkan kesungguhan kepimpinan BN daripada peringkat tertinggi sampailah ke peringkat akar umbi dengan pelbagai kaedah dan program,' katanya.

Bulan lalu, Datuk Seri Najib, yang juga Menteri Kewangan Malaysia, memberitahu bahawa pelaksanaan projek MRT akan menjana pendapatan negara kasar antara RM3 bilion dengan RM4 bilion bermula awal tahun depan sehingga ia siap dibina pada 2020.

Difahamkan, ketika pertemuan hujung minggu lalu, Datuk Seri Najib telah meminta para AP menyenaraikan projek-projek di kawasan mereka yang masih belum dilaksanakan.

Malah, Datuk Seri Najib juga meminta para AP memaklumkan beliau janji pilihan raya umum 2008 yang masih belum dipenuhi.

Para pegawai yang rapat dengan perbincangan itu memberitahu bahawa Datuk Seri Najib ada memaklumkan kepada para AP bahawa beliau akan membantu mereka memastikan janji-janji kempen 2008 dan projek ditunaikan sebelum mengadakan pilihan raya umum ke-13.

No comments:

Posting Terkini