Pages

Tuesday, January 4, 2011

MB: Dewan Negeri Selangor Bersidang Hujung Bulan Ini(TERKINI)

SHAH ALAM 4 JAN : Tan Sri Khalid Ibrahim memaklumkan bahawa Dewan Negeri Selangor akan bersidang pada hujung bulan ini.

Ujar Menteri Besar Selangor itu, dalam tempoh tersebut kerajaan negeri katanya akan membuat persediaan berhubung pindaan pelantikan tiga jawatan utama yang membabitkan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri.

"Kita bercadang untuk mengadakan sidang dewan dalam masa yang terdekat sebelum minggu keempat bulan ini.

"Kita juga telah menulis surat kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hasan bagi berbincang semula berhubung pelantikan SUK negeri Selangor.


"Kita juga ingin perkara ini diperbetulkan dengan konsep bahawa Kerajaan Negeri juga mempunyai kuasa dalam pelantikan jawatan negeri," ujar beliau.

Tambahnya, surat kepada KSN bagi mengadakan perbincangan berhubung pelantikan itu telah dihantar semalam.

Sebelum itu, Khalid mengadakan perjumpaan dengan Exco Kerajaan Negeri dan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat Selangor  di Dewan Annex, Shah Alam, petang tadi.

Dalam pertemuan selama dua jam itu, Khalid juga berkata, majlis angkat sumpah Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Khusrin Munawi di hadapan Menteri Besar dan barisan Exco kerajaan negeri akan ditunda sehingga keputusan dicapai pada sidang DUN tergempar itu.

“Walaupun secara sah SUK telah dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) tapi kita masih belum anggap ia sah kerana belum mengangkat sumpah di hadapan Menteri Besar dan Exco.

“Dalam pertemuan hari ini juga kita bersetuju ia (majlis angkat sumpah) ditunda sehingga dibuat keputusan dalam sidang DUN yang akan kita adakan dalam masa terdekat dicapai.

“Kita mungkin akan buat sidang DUN dalam minggu ketiga sebelum minggu keempat bulan ini, jadi kita ada tiga minggu buat persediaan,” kata Khalid sambil berkata, sudah menyerahkan surat kepada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan bagi membincangkan semula pelantikan Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri.

No comments:

Posting Terkini