Pages

Wednesday, December 1, 2010

Spekulasi air Selangor, jamin kroni Umno-BN

1 a azmin ali kongres


Oleh Nazli Ibrahim
PARLIMEN KUALA LUMPUR: Anggaran permintaan air negeri Selangor yang dinyatakan oleh Kerajaan Persekutuan dianggap hanyalah spekulasi yang sengaja diadakan untuk melindungi dan menjamin kroni-kroni Umno-Barisan Nasional (BN).
Demikian ujar Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali di sidang Dewan Parlimen semalam ketika menolak apa yang digembar-gemburkan oleh Kerajaan Persekutuan bahawa Selangor bakal menghadapi krisis air pada tahun 2012 nanti.

"Kerajaan Negeri kekal berpendapat bahawa krisis air yang diuar-uarkan oleh Kerajaan Pusat akan berlaku pada 2012 itu hanya spekulasi semata-mata.
"Kerajaan negeri telah menjalankan kajian pengurusan dan permintaan air untuk menentukan jumlah air yang digunakan pengguna di negeri ini pada ketika ini dan juga di masa akan datang," kata beliau.
Beliau berkata lagi, bahawa unjuran penggunaan air di Selangor yang dikeluarkan oleh NWRS (Kajian Sumber Air Nasional) yang diguna pakai oleh Kerajaan Persekutuan adalah tidak tepat kerana tidak mengikut dasar ‘Design, Guideline For Water Supply System’ yang dihasilkan oleh Persatuan Air Malaysia.
Penggunaan air per kapita
Beliau turut memberikan perbandingan jumlah penggunaan air per kapita di beberapa buah bandar utama seluruh dunia dengan unjuran penggunaan air untuk negeri Selangor dan Kuala Lumpur yang dikeluarkan NWRS.
Azmin memberitahu "Fakta penting yang harus diberikan perhatian ialah anggaran NWRS untuk Selangor dan Kuala Lumpur adalah 500 sehingga 1,224 liter per kapita sehari untuk tahun 2010.
"Berbanding dengan penggunaan air per kapita sehari yang dilaporkan di bandar-bandar utama dunia seperti Singapura, hanya 328 liter per kapita, Sydney hanya 214 liter dan New York 420 liter," tambahnya.
Ujar beliau, "oleh kerana itulah kita percaya anggaran permintaan air yang melonjak naik ini adalah satu spekulasi sekali lagi untuk melindungi dan menjamin kepentingan kroni-kroni syarikat-syarikat yang ada kepentingan Umno-BN."
Dalam perkembangan berkaitan, Kempen Tolak Pengswastaan Air yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri Selangor yang bertujuan agar hak mengurus air dikembalikan kepada kerajaan negeri telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan.
Menurut penyelaras kempen, Dr Badrul Amin Bahron, program penerangan yang telah diadakan beberapa tempat sebelum ini telah mendapat sambutan apabila dikatakan disertai oleh tidak kurang 1,000 penduduk negeri ini.
Selain itu, beliau turut memberitahu FMT, pihak penganjur juga telah berjaya mengumpulkan lebih dari sasaran 100,000 tandatangan hanya dalam masa beberapa hari sahaja selepas kempen tersebut dilancarkan. ~ FMT

No comments:

Posting Terkini