Tuesday, December 28, 2010
Kontrak autobiografi $2j bagi pengasas WikiLeaks
LONDON: Pengasas WikiLeaks, Encik Julian Assange, berkata dalam satu wawancara yang disiarkan semalam bahawa beliau telah menandatangani satu perjanjian bagi autobiografi beliau bernilai lebih £1 juta ($2.05 juta).
Encik Assange memberitahu akhbar Sunday Times di Britain bahawa wang itu dapat membantu beliau membela diri terhadap pertuduhan melakukan pencabulan seks ke atas dua wanita di Sweden.
'Saya tidak mahu menulis buku ini, tetapi saya terpaksa,' kata beliau.
'Saya telah membelanjakan sebanyak £200,000 bagi kos guaman. Saya perlu membela diri dan memastikan WikiLeaks terus hidup,' kata beliau.
Akhbar The Australian berkata Encik Assange akan menerima AS$800,000 daripada sebuah penerbit buku Amerika, Alfred A. Knopf, dan £325,000 di bawah satu perjanjian dengan penerbit buku British, Canongate.
Wang daripada pasaran dan siri lain dijangka meningkatkan jumlah tersebut menjadi £1.1 juta, kata Encik Assange.Projek terbaru laman web WikiLeaks ialah penyiaran secara beransur puluhan ribu kabel diplomatik Amerika Syarikat.
Sejak projek terbarunya bermula, Encik Assange, yang sekarang dibebaskan dengan ikat jamin di Britain atas waran tangkap Sweden berhubung dakwaan pencabulan seks itu, menghadapi masalah kewangan bagi membiayai WikiLeaks.
Firma kad kredit Visa dan MasterCard serta firma pembayaran Internet, PayPal telah menyekat derma untuk WikiLeaks, sehingga mendorong Encik Assange mengecap mereka sebagai 'alat bagi dasar luar Amerika'.
Bank terbesar di Amerika, Bank of America, juga menghentikan semua pemindahan wang kepada WikiLeaks.
Washington marah akan tindak WikiLeaks menyiarkan secara beransur 250,000 kabel sulit Jabatan Negara Amerika. Washington dipercayai sedang menimbang bagaimana hendak mendakwa Encik Assange berhubung pembocoran maklumat itu.
Encik Assange sekarang menginap di sebuah rumah gedung di sebuah negara sahabat di timur England sejak dibebaskan dari penjara pada 16 Disember.
Antara syarat ikat jaminnya ialah beliau mesti melapor diri kepada polis setiap hari dan diarah memakai gelang elektronik. -- AFP.
Labels:
ekonomi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment