Pages

Saturday, December 4, 2010

BN SIAP SEDIA TAWAN KAWASAN PR

Barisan Nasional sedang bersiap sedia untuk menawan kawasan-kawasan yang dikuasai pembangkang dengan menjadikan gabungan 13 parti itu lebih inklusif, menarik dan gagah menjelang pilihan raya umum akan datang. Usaha itu, yang berpaksikan konsep menawan hati rakyat khususnya golongan muda yang merupakan sebahagian besar pengundi, akan dinakhodai Perdana Menteri dan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebaik saja mengambil alih jawatan Pernama Mentei tahun lepas, Najib menggerakkan beberapa inisiatif ke arah penjenamaan semula BN, dengan menjadikan kemerosotan sokongan dalam pilihan raya umum 2008 dan beberapa pilihan raya kecil selepas itu, sebagai pengajaran.
Pada Februari lepas, satu jawatankuasa mengandungi anggota yang berkelayakan undang-undang diketuai Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah dibentuk.
Selepas sembilan bulan mengadakan perbincangan dan membuat kajian, jawatankuasa itu telah menghasilkan satu piagam mengandungi 10 perkara yang akan diumumkan oleh Najib pada Konvensyen BN pada Ahad ini.
Mesyuarat Dewan Tertinggi BN baru-baru ini menerima dan meluluskan cadangan untuk menerima sesiapa yang ingin menyertai BN sebagai ahli terus atau ahli bersekutu menjadi “Rakan BN”.
Ini bermakna mereka ini tidak perlu menjadi ahli mana-mana parti komponen BN untuk menyertai BN, satu pendekatan yang dilihat akan menggalakkan lebih ramai rakyat menyokong BN.
Penganalisis politik Khaw Voon Sze berkata bahawa bagi mengukuhkan kedudukan BN, ia harus memberi tumpuan ke arah mengembalikan semangat sebenar BN dan bukannya sekadar “mencantikkan diri” menerusi logo baru dan piagam baru atau mempunyai ahli terus dan kumpulan sokongan seperti Rakan BN.
“Baru-baru ini, saya meneliti beberapa ucapan mendiang Tun Dr Lim Chong Eu berhubung keputusannya membawa Gerakan menyertai BN. Ucapannya itu menyentuh mengenai semangat BN, kepentingan nasional dan perkongsian kuasa yang tulen.
“Keputusan Gerakan untuk menyertai BN ketika itu sebahagian besarnya disebabkan oleh kepentingan nasional, dan berasaskan kepada kepentingan nasional dan perkongsian kuasa yang tulen inilah, beberapa parti di Sarawak, malahan PAS juga pada masa itu, membuat keputusan menyertai BN,” katanya.
Oleh itu, kata Khaw, adalah amat penting bagi BN menitikberatkan soal perkongsian kuasa ini berdasarkan pemuafakatan dan bukannya didominasi oleh mana-mana kumpulan tertentu.
Pemerhati politik berkata bahawa selain memulihkan imej BN, terdapat beberapa cabaran lagi yang parti gabungan itu perlu hadapi bagi meletakkan dirinya pada kedudukan terbaik untuk menawan kawasan-kawasan pembangkang.
Setiausaha Agung Gerakan Teng Chang Yeow berkata cabaran terbesar ialah bagaimana untuk menonjolkan BN sebagai satu pakatan yang bersatu dan yang sama-sama berusaha untuk berkhidmat dengan baik kepada rakyat.
“Kita (BN) dilihat tidak bekerja sebagai satu pasukan. Sebaliknya sebilangan rakyat melihat pakatan pembangkang pula yang bersatu,” katanya.
Presiden Parti Liberal Demokratik Datuk V.K Liew berkata cabaran terbesar kepada BN ialah bagaimana ia dapat menguruskan kejayaan selepas melaksanakan dasar menerima ahli terus dan bersekutu nanti.
“Ini bukan saja menjadi cabaran kepada BN sendiri tetapi juga kepada parti-parti kecil kerana kita mempunyai dua kategori ahli — bersekutu dan gabungan. Kita telah mengorak langkah dan kita tidak boleh berpatah balik,” katanya.
Pemerhati berkata kejayaan BN untuk mengukuhkan semula kedudukannya banyak bergantung kepada sejauh mana rakyat memahami piagam dan aspirasi BN.
“Pada 1974, Tun Razak membuat keputusan menukar simbol (Perikatan) agar sesuai dengan keperluan ketika itu. Selain mengukuhkan kedudukannya, BN perlu menggunakan ruang baru ini untuk menyasarkan kumpulan pengundi yang berbeza,” kata pensyarah Universiti Sains Malaysia, Dr Sivamurugan Pandian.
Beliau berkata BN perlu menjelaskan bahawa perubahan yang sedang dilakukan bukan sekadar mencantikkan luarannya tetapi merupakan satu usaha ke arah mengatasi beberapa perkara yang dilihat boleh menimbulkan pertikaian.
“(Contohnya) orang akan bertanya bagaimana mahasiswa universiti yang tidak boleh terlibat dalam politik akan dibenarkan menjadi “rakan” kepada parti politik,” katanya.
Sivamurugan berkata bahawa satu lagi isu yang akan timbul daripada perubahan yang hendak dilakukan oleh BN itu ialah sama ada anggota parti-parti komponen BN akan mempunyai semangat dan kegigihan untuk berubah ke arah yang lebih baik.
“Jika kepimpinan BN menerajui perubahan ini, maka parti-parti komponen perlu ikut. Mereka mempunyai ideologi dan pendirian berbeza tetapi di peringkat BN, mereka perlu selaras dan meningkatkan kerjasama bagi menentukan tidak berlaku perbalahan dalaman.
“BN yang baru tidak boleh mengetepikan aspirasi dan keperluan pengundi teganya. Tidak harus ada perubahan drastik…kena ada perseimbangan antara penyokong setia dan usaha menarik pengundi baru.
“Itulah cabarannya,” kata Sivamurugan.
– BERNAMA

No comments:

Posting Terkini