Kemenangan "berganda" Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Batu Sapi, Sabah dan Galas, Kelantan, nampaknya memberi suntikan baru dan keyakinan kepada Perdana Menteri Najib Tun Razak dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke 13. Keyakinan ini mencetuskan beberapa siri mesyuarat yang akan di adakan sebagai persediaan.
Sebuah jawatankuasa pengurusan BN akan bermesyuarat esok, diikuti dengan mesyuarat Majlis Tertinggi BN pada Sabtu ini, demikian menurut laporan sebuah akhbar arus perdana hari ini.
Najib, sebagai Pengerusi BN dijangka akan memberi taklimat kepada para pemimpin tentang peranan masing-masing dan apa yang diharapkan daripada mereka termasuk maklum balas mengenai apa yang perlu dilakukan.
Kejayaan di Batu Sapi dan Galas seolah-olah muncul sebagai gelombang baru bagi BN dalam menghadapi asakan kuat Pakatan Rakyat hingga menyebabkan BN hampir "mati lemas" dalam tsunami politik PRU-12 lalu.
Namun kemenangan BN di kedua-dua tempat ini dilihat tidak begitu memberangsangkan memandangkan kawasan-kawasan ini adalah kubu kuat mereka (Galas sebelum 2008), tambahan pula BN menggunakan sepenuhnya segala jentera kerajaan dan menabur wang tunai kepada para pengundi.
Keyakinan Najib ini juga terbit dari ramalan ekonomi Malaysia akan mencatat pertumbuhan yang memberangsangkan pada kadar 7 peratus untuk setahun penuh 2010 akibat lantunan pemulihan ekonomi tahun lalu.
Najib juga tidak boleh menunggu lama untuk mengadakan pilihan raya kerana sekiranya pilihan raya ditangguhkan lebih lama berkemungkinan ekonomi global mengalami "double dip recession".
Ekonomi Amerika Syarikat masih jauh dari pemulihan akibat krisis "sub-prime", iaitu pendedahan kepada sektor perumahan yang terlalu tinggi dan keruntuhan beberapa empair perniagaan seperti Lehman Brothers dan Enron.
Ekonomi China, ekonomi kedua terbesar dunia sedang menghadapi "property bubble" dan sedang mengambil langkah-langkah perlu seperti membatalkan pinjaman perumahan (bridging loans) kepada empat pemaju utama bagi mengendurkan kerancakan pembinaan sektor hartanah.
Begitu juga ekonomi Eropah masih menghadapi krisis zon euro. Negara seperti Greece, Sepanyol, Ireland dan Itali diramalkan tidak dapat membayar pinjamannya mengikut jadual. Kegagalan empat negara ini keluar dari kemelesetan akan menjejaskan ekonomi negara-negara Eropah yang lain.
Masalah ekonomi bertimpa-timpa
Oleh itu, untuk mengelak masalah-masalah ini sampai di perairan Malaysia maka Najib tidak boleh menunggu lama ketika mana Malaysia sendiri menghadapi serantaian masalah ekonomi yang tidak bertimpa-timpa akibat kelemahan pentadbirannya.
Defisit belanjawan selama 12 tahun gagal ditangani. Kedudukan hutang negara semakin meningkat setahun demi setahun dan sehingga penghujung 2009 hutang negara berjumlah RM326 bilion, mencecah 56% dari Keluaran Dalam Kasar Negara.
Pelaburan Langsung Asing (FDI) menjunam 81% dari lebih US$18 bilion tahun 2008 kepada US$9.8 bilion tahun 2009 dan tidak terdapat tanda-tanda bahawa FDI akan melantun semula pada tahun ini.
Banyak lagi masalah ekonomi, jika kita hendak sebut satu persatu di sini. Pendek kata, ekonomi Malaysia berada pada tahap kacau bilau atau "songsang".
Bagaimana Najib dapat menarik keluar Malaysia dari krisis ekonomi dan membawa negara ini mencapai status negara maju atau ekonomi berpendapatan tinggi dalam tempuh yang amat singkat, iaitu hanya tinggal sembilan tahun sahaja adalah sesuatu yang menarik untuk direnungi.
Ramai berpendapat Najib hanya pandai berbelanja tetapi tidak pandai mencari wang untuk menambah pendapatan negara. Malangnya beliau tidak mempelajari ilmu pengurusan wang dan kewangan.
Kalau tidak, masakan beliau meminta nasihat dari Bank Dunia tentang bagaimana hendak mengurangkan perbelanjaan kerajaan seperti mana yang dilaporkan oleh sebuah akhbar kewangan mingguan baru-baru ini.
Ini adalah merupakan satu perkara yang aneh kerana pada tahap pembangunan dewasa ini, Malaysia seharusnya lebih tahu akan masalah yang dihadapinya sendiri, bukan Bank Dunia atau Dana Kewangan Antarabangsa atau badan-badan lain.
Negara sudah lama terperangkap dalam kepumpung negara berpendapatan sederhana dan sehingga ini belum menunjukkan tanda-tanda bahawa negara dapat keluar dari kepumpung ini.
Masa tidak menyebelahi BN dan Najib. Pilihan raya umum perlu diadakan segera. Jika tidak tsunami politik pembangkang akan membadai dan menyapu bersih pantai. ß FMT
No comments:
Post a Comment