Sunday, October 24, 2010
Melayu Pengasas Umno Manusia Progresif
A Kadir Jasin
Mengenai pidato Mohd Najib keseluruhannya, mesej saya kepada beliau mudah saja. Kotakanlah kata-kata yang panas menyala. Jangan umpama tahi ayam yang hangatnya hanya seketika. Tetapi sebagai budak kampung, saya tahu tahi ayam pun berguna. Disimpan lama ia jadi baja. Sebaliknya buaian dongeng saudagar mimpi akan membuat orang Melayu hilang jadi diri dan akhirnya bangsat di negara sendiri. Barang dijauhkan Allah.
SEMALAM, Presiden Umno Mohd Najib Abdul Razak, membuka Perhimpunan Agung Umno 2010 dengan memberi pidato berjudul “Mendaya Bangsa Meneraju Kemakmuran” yang puitis, emotif, menyentuh hati dan membakar emosi.
Buat masa ini, saya hanya ingin mengulas atau, lebih tepat, terpaksa mengulas, satu hal sahaja demi memperbetulkan dan seterusnya mempertahankan maruah serta kewibawaan generasi pengasas Umno.
Khasnya Allahyarham ayah saya yang hidup matinya dengan Umno. Walaupun beberapa tahun sebelum kembali ke rahmatullah dua raya dulu hatinya tawar terhadap kepemimpinan Umno, namun cintanya kepada Parti Kebangsaan Melayu Bersatu tidak pernah luntur.
Penegasan saya -- ahli pengasas Umno adalah progresif. Hasil sikap progresif merekalah, maka mereka mementang Malayan Union dan bergabung menubuhkan Umno.
Lama sebelum Umno ditubuhkan, orang Melayu sudah cukup progresif dan tinggi kesedaran politiknya. Mereka menubuhkan pelbagai pertubuhan dan kesatuan untuk memperjuangkan hak dan kepentingan mereka. Persatuan dan pertubuhan ini bergabung menubuhkan Umno.
Maka mengatakan penolakan cadangan Presiden pengasas Umno, Onn Jaafar, supaya keahlian Umno dibuka kepada bukan Melayu adalah kerana idea itu terlalu progresif kepada mereka adalah tidak tepat.
Dalam ucapannya, Mohd Najib berkata: “Jika dihimbau sebenarnya, pada awal tahun 1950an, Presiden Umno ketika itu, Allahyarham Dato’ Onn Jaafar, telah mengenengahkan idea untuk membuka pintu keahlian parti kepada orang bukan Melayu kerana beliau melihat realiti, bahawa kemerdekaan, tidak mampu dicapai tanpa kaum-kaum yang ada bersetuju berkongsi kuasa.
“Namun, rancangan Dato’ Onn pada masa itu adalah terlalu progresif bagi ahli Umno yang merasakan kedudukan bangsa Melayu masih belum kuat. Hasilnya ia telah ditentang oleh majoriti ahli dan pemimpin Umno.....”
Orang Melayu menolak cadangan itu bukan kerana ia terlalu progresif, tetapi atas beberapa sebab. Antaranya:-
1. Umno adalah parti kebangsaan orang Melayu dan anak peribumi;
2. Majoriti orang bukan Melayu pada waktu itu bukan warganegara Tanah Melayu atau warganegara negeri-negeri Melayu (state citizens);
3. Majoriti orang bukan Melayu yang mempunyai kesedaran politik ketika itu lebih mengutamakan politik negara ibunda mereka. Pendatang Cina dengan politik Negeri China dan India dengan nasionalisme India. Malah, pendatang Cina yang menyokong Parti Komunis China dan Parti Kebangsaan Kuomintang pernah bergaduh menggunakan senjata kerana fahaman politik tanah besar China.
Sejarawan Cheah Boon Kheng, dalam bukunya “The Masked Comrads” antara lain menulis: “MCP-KMT rivalry involving the ABH (Ah Bin Hoay secret society) came to a head in December 1946, in the bloody outbreak at Pangkor.”
(Persaingan MCP-KMT membabitkan ABH (Ah kongsi gelap Bin Hoay) memuncak pada bulan December 1946 dengan pertumpahan darah di Pangkor.)
4. Orang bukan Melayu menyokong Malayan Union. Cheah Boon Kheng mengulas lagi: “The idea of a single state or a large union which combined all the Malay states and the Straits Settlements appealed, in fact, only to the British and the non-Malays but not to the Malays who were still extremely parochial in their attitude.”
(Idea sebuah negeri atau kesatuan yang besar yang menggabungkan negeri-negeri Melayu dengan negeri-negeri Selat pada hakikatnya menarik minat Inggeris dan orang bukan Melayu sahaja, tetapi tidak orang Melayu yang masih kuat perasaan kenegeriannya.)
Walaupun Melayu bersemangat kenegerian, tetapi melalui Umno mereka meluaskan pandangan dengan berjuang atas landasan kebangsaan Melayu; dan
5. Orang Cina Persekutuan Tanah Melayu pada waktu itu terbahagi kepada tiga kumpulan – Cina pendatang, Cina kelahiran tempatan dan Cina Baba. Yang jelas mahu menjadi warganegara Tanah Melayu merdeka adalah Cina Baba yang sudah berabad lamanya menetap di bumi Melayu.
Jadi adalah songsang pendapat mengatakan orang Melayu menolak saranan Onn Jaafar kerana idea beliau terlalu progresif bagi orang Melayu.
Sebaliknya, kerana orang Melayu progresif dan dalam kefahaman politiknya, maka mereka menolak cadangan itu, tetapi mereka tidak pula menolak kerakyatan orang bukan Melayu asalkan mereka mengikrarkan taat setia kepada Persekutuan Tanah Melayu.
Malah tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa orang Melayu pada waktu itu adalah cukup progresif dan melepasi keadaan masa dan persekitaran mereka. Mungkin juga mereka lebih progresif dan berilmu daripada sesetengah Melayu yang ada hari ini.
Yang pasti, mereka lebih kenal diri, lebih tinggi jati diri dan lebih berkeyakinan mengenai hak dan kedudukan mereka sebagai peribumi. Mereka tidak berasa bersalah atau apologetik menjadi Melayu dan peribumi.
Mengenai pidato Mohd Najib keseluruhannya, mesej saya kepada beliau mudah saja. Kotakanlah kata-kata yang panas menyala. Jangan umpama tahi ayam yang hangatnya hanya seketika.
Tetapi sebagai budak kampung, saya tahu tahi ayam pun berguna. Disimpan lama ia jadi baja. Sebaliknya buaian dongeng saudagar mimpi akan membuat orang Melayu hilang jadi diri dan akhirnya bangsat di negara sendiri. Barang dijauhkan Allah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment