Pages

Friday, August 13, 2010

Ustaz Ahmad Sonhadji meninggal

ULAMA terkemuka Singapura, Ustaz Ahmad Sonhadji Mohamad, (foto) yang berjasa bukan saja dalam bidang agama malah dalam memajukan kehidupan beragama masyarakat setempat, meninggal dunia pagi semalam.

Ustaz Ahmad Sonhadji meninggal dunia selepas beberapa bulan berada di Hospital Universiti Nasional (NUH) kerana sakit radang paru-paru dan penyakit ginjal.

Menurut keluarganya, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir sekitar 8.30 pagi di NUH.

Jenazah beliau kemudian dibawa pulang ke rumahnya di Toa Payoh sebelum dibawa ke Masjid Muhajirin bagi solat jenazah yang dipimpin Mufti Syed Isa Semait yang merupakan bekas anak muridnya.

Allahyarham disifatkan sebagai ahli tafsir Al-Quran yang tersohor di rantau ini dan dikenali sebagai ahli agama yang menghasilkan kitab tafsir 'Abrul Athir' yang kini menjadi rujukan dan buku teks di majlis pengajian tafsir di Singapura, Malaysia, dan Brunei.

Ia adalah satu-satunya kitab tafsir yang lengkap dan mudah difahami yang asalnya ditulis dalam bahasa Melayu.

Kitab 'Mari Sembahyang' yang digunakan secara meluas di majlis pengajian asas sembahyang adalah satu contoh sumbangan yang sangat bermakna daripada Ustaz Ahmad Sonhadji.

Sejak berapa tahun kebelakangan ini, Ustaz Ahmad Sonhadji antara pemimpin agama yang memainkan peranan penting dalam usaha negara membanteras fahaman pengganasan.

Beliau adalah penasihat Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) yang berperanan memberi kaunseling kepada tahanan yang terlibat dalam kumpulan pengganasan.

Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, antara ramai pemimpin Islam dan asatizah yang hadir dalam solat jenazah Allahyarham semalam menyifatkan kepergian Ustaz Ahmad Sonhadji satu kehilangan besar.

Sumbangannya yang menggalak kehidupan Islam progresif harus terus dipelihara dan dihidupkan, kata beliau.

Menerusi kenyataan media, Muis turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Menurut Muis, Ustaz Ahmad Sonhadji bukan saja seorang alim ulama yang amat disegani malah seorang tokoh agama, penasihat dan sumber rujukan.

Antara sumbangan utama beliau ialah menerusi Jawatankuasa Fatwa - Allahyarham menjadi anggota sejak 1975.

Menurut Muis, Allahyarham adalah ulama yang sentiasa berpandangan progresif dan jauh menerusi idea dan pandangannya mengenai banyak isu, contohnya soal pembangunan zakat, penentuan permulaan kalendar Islam menerusi kiraan hisab, dan perbincangan mengenai Airbaru.

Menurut keluarganya, Allahyarham seorang ulama yang mengabdi kepada kerja-kerja keagamaan walaupun dalam keadaan uzur.

Menurut anaknya, Encik Mohamad Sudirman Ahmad Sonhadji, 42 tahun:

'Baru dua hari puasa tetapi ayah sudah pergi. Ayah memang dah lama sakit tetapi walaupun sakit beliau tidak tinggal solat dan berzikir di atas katil.'

Encik Mohamad Sudirman menambah bahawa keluarga mereka seharusnya menyambut ulang tahun Ustaz Ahmad Sonhadji yang ke-88 akhir bulan ini.

Allahyarham meninggalkan 10 anak, 32 cucu dan 28 cicit. Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan semalam.


No comments:

Posting Terkini