DIKAWAL RAPI: Abu Bakar Bashir (memakai songkok putih) dibawa anggota-anggota polis antipengganasan ke ibu pejabat polis di Jakarta semalam. -- Foto AP
JAKARTA: Polis telah menahan seorang dai tempatan berfahaman pelampau yang didakwa menawarkan sokongan kepada sekumpulan pelampau yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas Asia Tenggara, Jemaah Islamiyah (JI), kata para pegawai semalam.
Abu Bakar Bashir didakwa terbabit dalam satu kem latihan militan yang didedah oleh polis di wilayah Aceh pada Februari lalu, kata ketua unit antipengganas di Kementerian Penyelaras Politik, Hukum dan Keamanan Indonesia, Inspektor Jeneral Drs Ansyaad Mbai.
'Dia terbabit dalam rangkaian pengganas di Aceh. Seperti yang kita ketahui, kumpulan pengganas di Aceh itu ada kaitan dengan JI dan banyak lagi kumpulan ekstremis di negara kita,' kata beliau kepada agensi berita AFP, sambil mengesahkan penangkapan itu.
'Salah satu dakwaannya ialah bahawa dia menawarkan pembiayaan bagi latihan militan Aceh. Ia satu daripada beberapa dakwaan yang dikenakan ke atasnya,' tambah beliau.
Penangkapan itu dibuat awal semalam di daerah Ciamis, di wilayah Jawa Barat, kata seorang sumber polis.
Bashir kelihatan tenang semasa dia dibawa ke ibu pejabat polis Jakarta.
'Ini rahmat Tuhan untuk mengurangkan dosa. Ini didalangi Amerika Syarikat,' katanya kepada wartawan sebelum dibawa polis antipengganasan.
Bashir sedang mengadakan sesi pembacaan Al-Quran apabila dia ditahan, kata peguam dai itu, Encik Achmad Cholid.
'Kami sedang cuba untuk mengetahui apakah dakwaan polis itu sebelum menjelaskan kedudukan kami berhubung perkara itu - jika ia berkaitan dengan kegiatan pengganasan, maka apakah ia?' kata Encik Cholid kepada AFP.
Bashir, 71 tahun, dikenali kerana retoriknya yang tegar dan pernah didakwa menyediakan kepimpinan agama kepada JI, satu dakwaan yang dinafikannya.
Dia telah menjalani hukuman penjara hampir 26 bulan kerana dikaitkan dengan satu konspirasi serangan pengganas di kelab-kelab malam Bali pada 2002, yang mengorbankan lebih 200 jiwa, sebelum dibebaskan daripada penjara pada 2006.
Kumpulan Krisis Antarabangsa (ICG), sebuah pertubuhan bukan pemerintah ( NGO), bulan lalu berkata Bashir kembali diawasi polis pada Mei lalu apabila para pegawai polis menyerbu ibu pejabat kumpulan Jamaah Ansharut Tauhid (JAT) di Jakarta dan menahan tiga daripada pengikutnya.
Ketiga-tiganya didakwa berhubung kem latihan di Aceh, kata ICG.
Bashir pula mendesak dia tidak ada hubungan dengan kumpulan Aceh itu.
Polis Indonesia telah menjalankan satu siri serbuan antipengganasan di seluruh negara sejak menemui kemudahan latihan itu di Aceh, di utara Sumatera, pada Februari lalu. -- AFP.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment