Pages

Sunday, July 25, 2010

Lapan diberkas ekoran kes bunuh

Singapura: LAPAN lelaki Melayu yang terlibat dalam pergaduhan berdarah di Orchard Plaza hingga menyebabkan kematian Mohamad Noraidi Zahari telah diberkas polis semalam.

Tujuh daripada lelaki itu akan dihadapkan di mahkamah hari ini kerana tuduhan membunuh yang boleh membawa hukuman mati.

Seorang suspek pula akan dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu siasatan lanjut.

Kesemua lelaki yang ditangkap itu merupakan warga Singapura berusia antara 17 dengan 41 tahun.

Menurut polis dalam satu kenyataan semalam, kelapan-lapan suspek telah ditahan menyusuli penyiasatan intensif dan operasi yang dipimpin para pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (CID) dalam masa 27 jam.

Polis berkata, suspek-suspek itu ditangkap di beberapa lokasi di Singapura, termasuk Choa Chu Kang, Bukit Merah, Sembawang dan Marsiling.

Tubuh Mohamad Noraidi yang dikelar dan bermandi darah dijumpai bergelimpangan di pintu masuk Orchard Plaza oleh pegawai polis yang tiba di tempat kejadian selepas menerima panggilan sekitar 4.15 pagi kelmarin.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Besar Singapura (SGH) dalam keadaan tidak sedarkan diri, tetapi disahkan meninggal dunia pada 4.58 pagi.

Pergaduhan itu dipercayai akibat pertelingkahan merebut perempuan dan berlaku apabila sekumpulan lelaki menyerang satu kumpulan lain yang sedang makan roti perata di kedai berdekatan Orchard Plaza.

Dalam wawancara dengan televisyen Internet, RazorTV, seorang pegawai keselamatan, Encik Mohd Salleh, yang bertugas di Orchard Plaza pada waktu itu, berkata pergaduhan melibatkan seramai 20 orang itu bermula di Cuppage Plaza berdekatan, sebelum berpindah ke Orchard Plaza.

Di sana, beliau ternampak lima lelaki menyerang mangsa menggunakan pisau atau parang panjang. Beliau terus menghubungi polis sebelum kelima-lima penyerang itu melarikan diri.

'Saya beritahu mangsa supaya tidak bergerak kerana darah mengalir keluar dengan banyak. Dia kata dia haus dan kami memberinya air,' kata pegawai keselamatan itu.

Ketika mengulas mengenai penangkapan itu, Pengarah CID, Penolong Pesuruhjaya Kanan (SAC) Ng Boon Gay, berkata:

'Saya memuji pegawai saya yang bekerja keras untuk mengheret mereka yang yang terlibat ke muka pengadilan dalam masa yang pendek. Tindakan ganas dan secara terang tidak menghormati undang-undang ini tidak boleh diterima langsung.

'Kami akan bertindak tegas terhadap sebarang individu atau kumpulan yang mengambil tindakan undang-undang sendiri dan memastikan mereka akan menghadapi sepenuhnya tindakan undang-undang,' katanya.



No comments:

Posting Terkini