KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Parlimen (AP) Bebas, khususnya mereka yang meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) awal tahun ini, akan menyertai program jelajah yang bakal dianjurkan Umno Selangor untuk mendedahkan 'pembohongan' dan 'permainan' Pakatan Rakyat.
Ketua Penerangan Umno Selangor, Encik Abdul Shukor Idrus, berkata kehadiran wakil rakyat berkenaan dapat memberi penerangan jelas kepada rakyat berhubung apa yang berlaku terutama membabitkan isu politik di Selangor.
'Hanya mereka sahaja yang tahu apa yang berlaku, mereka ini pernah berada dalam parti terbabit seperti AP Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Hashim dan AP Kulim-Bandar Bahru, Zulkifli Noordin,' kata beliau, dipetik oleh laman berita Umno Online, semalam.
Kedua-dua mereka adalah sebahagian daripada anggota Konsensus Bebas yang ditubuhkan oleh lima wakil rakyat yang dahulunya merupakan pemimpin PKR.
Tiga yang lain ialah Encik Wee Choo Keong (AP Wangsa Maju), Encik Tan Tee Beng (AP Nibong Tebal) dan Encik Mohsin Fadzli Samsuri (AP Bagan Serai).
'Melalui program ini, kita dapat memberi penjelasan terutama membabitkan pembohongan yang dilakukan oleh pemimpin pakatan pembangkang Selangor supaya rakyat tidak terus ditipu dengan permainan mereka,' katanya.
Encik Abdul Shukur berkata program yang diadakan itu dijalankan secara berterusan sehingga pilihan raya akan datang. Ia akan bermula minggu ini di Selayang, tambahnya.
Beliau berkata selain menjelaskan mengenai ehwal politik di Selangor, para penceramah itu juga akan menjelaskan 'tipu muslihat' serta pembohongan yang dibuat oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam merealisasikan cita-cita peribadinya.
'Ini adalah antara gerak kerja berterusan Umno Selangor dalam usaha memastikan Selangor berjaya ditawan semula oleh Barisan Nasional (BN),' katanya dalam laporan Umno Online itu.
Ahad lalu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Selangor, Datuk Seri Noh Omar, berkata Umno Selangor akan mengadakan jelajah bagi menjelaskan pembohongan kerajaan pakatan pembangkang di negeri itu.
Bagaimanapun, dalam perkembangan terbaru semalam, Datuk Seri Zahrain dan Encik Zulkifli dengan keras menafikan laporan itu sambil menyifatkannya satu 'pembunuhan karakter'.
'Ini adalah laporan tidak beretika yang ada agenda tersembunyi, putar belit... ini bukan berita, ini adalah analisis. Kenyataan itu adalah tidak benar,' kata Encik Zulkifli.
'Saya tidak pernah bertemu dengan Ketua Penerangan Umno. Saya tidak berminat dengan ceramah-ceramah Umno,' kata Datuk Seri Zahrain kepada laman berita The Malaysian Insider, semalam, ketika diminta mengulas laporan laman berita rasmi Umno itu.
Friday, July 9, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment