HOUSTON: Syarikat minyak British Petroleum (BP) telah membayar pampasan bernilai sekitar AS$104 juta ($144 juta) sejauh ini ekoran kejadian tumpahan minyak di Teluk Mexico.
Menurut syarikat itu, lebih 31,000 cek diberikan kepada penduduk yang menetap di sepanjang pesisir teluk itu dalam tempoh tujuh minggu lalu.
'Tumpuan kita ialah memberi pampasan kepada para nelayan, penangkap udang, pemilik kondominium dan golongan lain yang tidak dapat mencari nafkah ekoran tumpahan minyak ini,' kata ketua pasukan tuntutan BP, Encik Darryl Willis.
Menurutnya lagi, pihaknya sedang menangani tuntutan pampasan lebih rumit dan telah berjaya membayar pampasan kepada lebih banyak entiti komersial.
BP telah menerima sekitar 64,000 tuntutan sejauh ini.
Pasukan tuntutan seramai 1,000 pegawai itu dikatakan bekerja keras sepanjang masa untuk menguruskan tuntutan pampasan tersebut.
Sebelum ini, BP bersetuju memperuntukkan sebanyak AS$20 bilion bagi dana tuntutan pihak ketiga untuk membayar mangsa tumpahan minyak itu.
Sehingga 60,000 tong minyak sehari dikatakan melimpah keluar dari telaga bawah laut sejak pelantar BP, Deep-water Horizon, meletup dan mengorbankan 11 pekerja 20 April lalu.
Tumpahan minyak itu mengancam hidupan marin dan haiwan liar dekat pantai, industri perikanan serta pelancongan Amerika Syarikat.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) BP, Encik Tony Hayward, dikecam hebat kelmarin kerana menghadiri pertandingan kapal layar di Isle of Wight, England, sedang masalah pencemaran tumpahan minyak itu masih belum selesai.
BP, bagaimanapun, mempertahankan tindakan Encik Hayward bercuti bersama anak lelakinya di Britain itu.
'Di mana pun beliau berada, beliau sentiasa berhubungan dan tahu apa yang berlaku dalam BP,' kata jurucakap syarikat itu, Encik John Curry.
Seorang lagi jurucakap syarikat itu, Encik Robert Wine, berkata kelmarin merupakan hari pertama Encik Hayward mengambil cuti sejak tumpahan minyak itu berlaku.
Kapal layar milik Encik Hayward mendapat tempat keempat dalam pertandingan yang diadakan.
Senator Alabama, Encik Richard Shelby, menyifatkan tindakan Encik Hayward menghadiri pertandingan kapal layar itu sebagai satu tindakan yang 'sombong'.
'Apa yang boleh saya katakan ialah kapal layar itu sepatutnya berada di sini dan membersihkan tumpahan minyak di sini,' kata Encik Shelby.
Alabama merupakan salah satu daripada empat negeri yang terjejas teruk oleh tumpahan minyak itu. -- AFP, Bloomberg.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment