Pages

Monday, May 10, 2010

Tiga AP wanita Islam Parti Buruh menang

LONDON: Para anggota parlimen wanita Islam Britain Jumaat lalu mempunyai sebab untuk bergembira selepas mengecap kemenangan dalam pilihan raya umum negara itu.

Cik Rushanara Ali merupakan wanita keturunan Bangladesh pertama dilantik dalam parlimen Britain, mewakili Parti Buruh yang dipimpin perdana menteri negara itu, Encik Gordon Brown.

Beliau memenangi kerusi Bethnal Green dan Bow, di timur London, dengan majoriti undi yang selesa.

'Bagi jutaan rakyat Bangladesh di seluruh dunia, ia amat bermakna bagi mereka kerana salah seorang daripada keturunan mereka telah dilantik dalam parlimen yang terunggul,' kata wanita berusia 35 tahun yang dilahirkan di Sylhet, Bangladesh, dan berhijrah ke timur London pada usia tujuh tahun.

Kawasan timur London adalah pusat masyarakat Bangladesh di Britain. Beberapa papan tanda di sekeliling daerah Brick Lane ditulis dalam bahasa Inggeris dan Benggali.

Dua lagi wakil Parti Buruh, Cik Shabana Mahmood dan Cik Yasmin Qureshi, juga adalah antara gelombang pertama wanita Islam yang pernah dilantik dalam Dewan Perundangan Britain itu.

Cik Shabana memenangi kerusi di Birmingham Ladywood, yang mempunyai peratusan tertinggi menuntut faedah pengangguran di Britain.

Cik Shabana dilahirkan dan dibesarkan di Birmingham. Beliau pernah mengikuti pengajian di University Oxford sebelum menjadi peguam.

'Saya fikir ia (kemenangan ini) membawa mesej yang kukuh... Parlimen harus mencerminkan rakyat yang ia wakili,' kata beliau

Cik Qureshi, 46 tahun, juga seorang peguam. Beliau, yang memenangi kerusi di Bolton, di barat laut England, dilahirkan di Pakistan dan berhijrah ke Britain pada usia sembilan tahun.

'Saya sungguh gembira. Sememangnya saya amat gembira (dengan keputusan) para pengundi di Tenggara Bolton memilih seorang calon Parti Buruh dan melantik Anggota Parlimen Parti Buruh,' katanya.

Sementara itu, parti pembangkang Britain, Parti Konservatif dan Parti Demokrat Liberal, sedang bersiap sedia mengadakan rundingan baru semalam untuk menyertai kerajaan dan memecahkan kebuntuan pilihan raya umum negara itu.

Empat pasukan perunding pihak Tory dan Demokrat Liberal dijangka bertemu bagi pusingan kedua rundingan itu, walaupun hanya segelintir yang menjangkakan mereka dapat mencapai kata muktamad bagi satu perjanjian perkongsian kuasa sebelum pasaran kewangan dibuka hari ini.

Rundingan itu menyusuli perbincangan pertama antara pemimpin Parti Konservatif, Encik David Cameron, dengan Demokrat Liberal, Encik Nick Clegg, mengenai usaha berkongsi kuasa bagi menggulingkan parti Encik Brown daripada parlimen selepas 13 tahun. -- AFP.





No comments:

Posting Terkini