Pages

Monday, May 10, 2010

Krisis hutang Greece dan kesannya terhadap ekonomi Eropah.

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, dalam satu wawancara berkata beliau 'amat bimbang' dengan krisis hutang Greece dan kesannya terhadap ekonomi-ekonomi Eropah.

'Saya amat bimbang terhadap apa yang berlaku di Eropah,' kata Encik Obama kepada sebuah stesen televisyen Russia, Saluran Rossiya, dalam satu wawancara yang diadakan di Rumah Putih, Khamis lalu.

'Tetapi, saya fikir ia adalah satu isu yang disedari orang-orang Eropah sebagai amat serius,' tegasnya.

Kebimbangan sejak beberapa bulan lalu bahawa Greece tidak akan mampu menampung bayaran hutangnya itu mengakibatkan kos pinjamannya meningkat, menghakis nilai mata wang euro dan mengalihkan pandangan masyarakat antarabangsa terhadap ekonomi-ekonomi Eropah lain yang dianggap lemah.

'Jika kita boleh menstabilkan Eropah, itu adalah baik bagi Amerika,' kata Encik Obama.

Kenyataan beliau itu dibuat menjelang satu usaha untuk menyelamatkan Athens, bernilai 140 bilion euro ($250 bilion), oleh Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Kesatuan Eropah yang bakal dilakukan tidak lama lagi.

Semalam, badan pentadbir IMF mengundi berhubung permintaan Greece untuk mendapatkan satu pinjaman bernilai 40 bilion euro daripada institusi pinjaman dunia itu.

Encik Obama memuji Greece atas 'langkah-langkah amat sukar' yang dirancangnya, yang terdiri daripada langkah menaikkan cukai dan pengurangan belanja sebanyak 30 bilion euro.

Namun, Greece masih lagi diselubungi kebimbangan bahawa langkah-langkah berjimat cermatnya boleh menjerumuskan ekonomi negara yang sedang mengalami kemelesetan itu ke dalam masalah yang lebih besar, melemahkan daya usaha penghasilannya dan menyebabkan keretakan pada perpaduan sosial.

Washington menyokong langkah menyelamatkan Greece, sambil berkata ia mempunyai potensi membantu memulihkan semula negara itu dan masyarakat kewangan sejagat.

Tiga mogok umum telah diadakan sejak tiga bulan lalu sebagai bantahan terhadap dasar-dasar ekonomi pemerintah Greece, dan seorang anggota kesatuan sekerja utama negara itu memberi amaran bahawa anggotanya bersedia mengadakan satu lagi mogok.

Encik Obama menekankan bahawa krisis Greece dan kesannya terhadap pasaran dunia adalah salah satu daripada 'ancaman sebenar' yang boleh menjejas kesejahteraan Amerika. -- AFP.


No comments:

Posting Terkini