SATU-SATUNYA bank Islam di Singapura, Bank Islam Asia (IB Asia), rugi bersih AS$77 juta ($106.4 juta) dalam tahun kewangan lalu setelah mengetepikan peruntukan besar kerana bimbang pinjamannya kepada beberapa syarikat di Timur Tengah tidak akan dibayar.
Ia mengetepikan AS$81.4 juta sebagai peruntukan bagi kerugian kredit.
Bank itu rugi AS$77.133 juta dalam tahun kewangan berakhir 31 Disember 2009, berbanding untung AS$8.55 juta dalam tahun kewangan 2008.
Tanpa peruntukan bagi kerugian kredit itu, ia meraih keuntungan operasi AS$4.3 juta tahun lalu.
Menjawab pertanyaan Berita Harian, Pengarah Urusan Perbankan Korporat dan Pasaran Modal IB Asia, Encik Tan Jeh Wuan, berkata 2009 amat mencabar bagi bank itu dan institusi kewangan sejagat lain.
'Masalah mudah tunai dan kredit disebabkan krisis kewangan sejagat telah menjejas pendedahan kredit bank itu di Timur Tengah. Aset tidak berprestasi (NPA) kami meningkat kepada AS$159 juta.
'Sejajar dengan garis pandu berhati-hati kami dan mengambil kira garis pandu yang dikeluarkan Penguasa Pengawalan, kami telah membuat peruntukan khusus sebanyak AS$80 juta bagi pendedahan kredit itu,' kata Encik Tan dalam jawapan e-melnya.
Pada 2008, peruntukan bagi kerugian kredit hanya AS$2.1 juta.
Sumber-sumber menyatakan bank itu kehilangan sekitar lima pegawai kanan tahun ini sedang ia masih mencari-cari pengganti tetap setelah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Encik Vince Cook, meletak jawatan akhir tahun lalu.
DBS memiliki 50 peratus bercampur satu saham di IB Asia, yang dibentuknya pada 2007 dengan sekumpulan pelabur Timur Tengah bagi menyediakan khidmat perbankan Islam kepada pelanggan di Asia dan Timur Tengah.
Lembaga Pengarah IB Asia diketuai Encik Abdulla Hasan Saif, penasihat bagi ehwal ekonomi kepada Perdana Menteri Bahrain.
Ditanya apakah langkah yang diambil IB Asia bagi mendapatkan semula pinjamannya, Encik Tan berkata: 'Kami sedang mengambil apa jua langkah bagi melindungi kepentingan IB Asia berkenaan NPA itu dan akan mendapatkan semula pembiayaan yang dibuat kepada syarikat-syarikat itu.'
Beliau menambah bank itu 'mempunyai permodalan mencukupi untuk menyerap kesan kerugian itu'.
'Asia menunjukkan pertumbuhan kukuh ekonomi, dengan prospek baik pelaburan dan peluang perniagaan. Ini amat baik bagi IB Asia kerana ia mempunyai misi menghubungkan aliran modal antara Timur Tengah dengan Asia,' tambahnya.
Tuesday, May 18, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment