Pages

Tuesday, May 18, 2010

Nilai mata wang euro jatuh ke paras terendah

NILAI mata wang euro menjunam ke paras terendah sejak empat tahun lalu dalam dagangan yang tidak menentu semalam kerana kebimbangan hutang dialami di zon Eropah itu akan terus menjejas euro dan pasaran saham.

Sentimen kekal goyah walaupun Kesatuan Eropah (EU) telah memperkenalkan pakej menyelamat bernilai $1.34 trilion bagi negara-negara Eropah yang terjejas dengan spekulator dan memastikan krisis di Greece tidak merebak.

Malah, kebimbangan semakin memuncak tentang kemungkinan mata wang tunggal di Eropah itu berada di ambang keruntuhan.

Nilai euro menjunam ke paras serendah AS$1.2243 ($1.69) di Tokyo semalam, paras terendah sejak April 2006. Ini berbanding dagangan sebanyak AS$1.2358 di New York Jumaat lalu.

Akibatnya, harga saham-saham di rantau ini terjejas, dengan Indeks Straits Times (STI) di Singapura susut 0.75 peratus atau 21.52 mata kepada 2,833.69.

Harga saham Singapore Airlines (SIA) merosot sebanyak 24 sen kepada $14.56, manakala harga saham Singapore Telecommunications Ltd (SingTel) susut 5 sen kepada $2.91.

Harga saham di Tokyo dan Hongkong masingmasing menjunam 2.19 dan 2.14 peratus.

Pakej menyelamat di EU itu sebelum ini disambut dengan penuh optimis tetapi gagal meredakan kebimbangan para pelabur saham, lebih-lebih lagi setelah pemerintah di Sepanyol, Portugal, Italy dan Perancis memperkenalkan langkah untuk mengurangkan perbelanjaan.

'Kebimbangan bahawa sekatan fiskal yang besar akan menjejas pertumbuhan zon Euro,' kata pengamat di National Australia Bank di Sydney, Encik John Kyriakopoulos, kepada AFP.

'Para pelabur menyangsikan tindakan mengetatkan perbelanjaan fiskal kerana ia mempunyai kesan negatif terhadap ekonomi.'

Ketua Pengurus Mata Wang di Mitsubishi UFJ Trust and Banking Corp, Encik Hideaki Inoue, berkata prospek ekonomi keseluruhan EU menjadi muram akibat langkah itu.



No comments:

Posting Terkini