Pages

Monday, April 12, 2010

Enam pengganas ditahan

MEDAN: Polis Indonesia menahan semalam enam suspek pengganas yang dikatakan cuba melarikan diri apabila kereta mereka dipintas.

Dua lagi berjaya melarikan diri dan sedang diburu. -- AFP

Ditahan polis gara-gara gurau

MIRI: Akibat bergurau tidak kena tempat, dua lelaki 30-an tahun ditahan polis kerana mencemaskan orang ramai dengan mendakwa mereka membawa bom di sebuah kompleks beli-belah di sini, kelmarin.

Seorang pengawal keselamatan di kompleks beli-belah itu menghubungi polis sekitar 10 pagi dan memaklumkan mereka menahan dua lelaki yang mendakwa membawa bom di dalam sebuah beg.

Selepas membuat pemeriksaan, polis hanya menemui beberapa pakaian dan satu pengecas bateri telefon bimbit dalam beg itu. -- Bernama.

Empat korban runtuhan salji

MOSCOW: Sekurang-kurangnya empat orang, termasuk seorang pelancong, terbunuh apabila sebuah helikopter yang membawa pelancong Jerman tertimbus dalam runtuhan salji di pergunungan wilayah Kamchatka kelmarin, kata pegawai kecemasan Rusia.

Helikopter membawa 18 penumpang itu sedang mendarat ketika runtuhan salji berlaku.

Lapan mangsa dapat diselamatkan selepas ditarik keluar dari runtuhan salji, manakala enam masih hilang. -- AP.

Pelancongan M'sia tak terjejas

KOTA BHARU: Pembukaan pusat peranginan bersepadu Resorts World Sentosa (RWS) milik Genting Malaysia di Singapura baru-baru ini tidak akan memberi kesan terhadap kemasukan pelancong ke Malaysia.

Menteri Pelancongan Malaysia, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, berkata malah jumlah pelancong sepanjang Januari dan Februari lalu masing-masing mencatat peningkatan sebanyak 3 dan 10 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, membuktikan kemasukan pelancong ke Malaysia tetap rancak. -- BMM.

Lima lagi korban nahas lombong

BEIJING: Pekerja penyelamat semalam menarik keluar lagi lima mayat dari lombong arang batu yang dibanjiri air dua minggu lalu, di wilayah utara Shanxi, China.

Ini menjadikan angka korban mencapai 33 orang, sementara lima masih hilang.

Minggu lalu, 115 daripada 153 pekerja yang terperangkap berjaya diselamatkan. -- AFP.

No comments:

Posting Terkini