PILU DAN SEDIH: Cik Kala dan anak lelakinya berpelukan sedih selepas melihat suami beliau, Encik Panthiyan (gambar sisipan), ditembak di kepala dari jarak dekat di kedai cuci kereta miliknya. -- Foto HARIAN METRO
TELUK INTAN: Ketua Pemuda Dewan Himpunan Penyokong Parti Islam SeMalaysia (PAS) Perak, Encik P. Panthiyan @ Siva, mati ditembak dari jarak dekat oleh seorang lelaki tidak dikenali dalam kedai cuci kereta miliknya di Jalan Chui Chak, Langkap, dekat sini, kelmarin.
Encik Panthiyan, 34 tahun, yang sedang duduk di sofa di premis itu, ditembak di kepala - disaksikan isterinya, Cik K. Kala, 42 tahun, dan dua anak mereka. Serangan itu berlaku pada 3 petang, sejurus setelah keluarga itu tiba di premis tersebut dari bandar Teluk Intan.
Encik Panthiyan mati di tempat kejadian.
Cik Kala berkata tidak sampai beberapa minit mereka tiba di premis itu, beliau ternampak seorang pembonceng motosikal berpakaian gelap dan bertopi keledar penuh masuk dan terus menurut ke arah suaminya.
Rakan lelaki itu menunggu atas motosikal di luar premis.
'Pada mulanya saya tidak syak apa-apa kerana suami saya sering dikunjungi rakan-rakannya untuk pelbagai urusan, termasuk mengenai kebajikan masyarakat. Namun, dalam sekelip mata saya terdengar bunyi seperti mercun dan apabila menoleh, saya nampak suami saya sudah terbujur atas sofa berlumuran darah.
'Pada masa sama, lelaki itu berlari keluar dan membonceng motosikal yang sedia menunggu dan penunggangnya memecut ke arah Langkap,' kata Cik Kala ketika ditemui kelmarin.
Menurut Cik Kala lagi, beliau masih trauma dan terkejut dengan kejadian itu kerana suaminya peramah dan suka membantu orang lain, serta tiada musuh perniagaan atau politik.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Goh Kok Liang, mengesahkan bahawa Encik Panthiyan ditembak dari jarak dekat.
Menurut beliau, penyerang itu dan seorang rakannya menaiki motosikal jenis Yamaha LC berwarna hitam dan oren dengan nombor pendaftaran dipercayai palsu.
'Pembonceng motosikal melepaskan dua das tembakan. Satu tembakan tersasar, manakala satu lagi mengenai kepala mangsa, menyebabkan beliau mati di tempat kejadian,' kata ACP Goh.
Menurut beliau lagi, polis telah melancarkan gerakan memburu suspek tetapi sehingga lapan malam kelmarin tiada tangkapan dibuat. -- BHM.
Wednesday, March 17, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment