BANGKOK: Para penyokong mantan perdana menteri Thailand, Encik Thaksin Shinawatra, yang menunjuk perasaan, semalam menyimbah darah di depan Bangunan Kerajaan di Bangkok sebagai pengorbanan simbolik untuk mendesak kerajaan membubar parlimen dan mengadakan pilihan raya baru.
Beberapa anggota 'Baju Merah' merempuh sekatan polis pencegah rusuhan sebelum seorang lelaki berkerusi roda menyimbah sebaldi pertama darah yang diderma oleh penunjuk perasaan, sekitar 4.55 petang semalam.
Perdana Menteri Thai, Encik Abhisit Vejjajiva, belum memasuki pejabat beliau di Bangunan Kerajaan sejak bantahan bermula Jumaat lalu.
'Darah rakyat jelata kini saling bercampur bagi memperjuangkan demokrasi,' kata Encik Nattawut Saikua, seorang pemimpin Barisan Bersatu Demokrasi menentang Diktator (UDD), yang lebih dikenali sebagai Baju Merah.
'Apabila Abhisit bekerja di pejabatnya, beliau akan diperingatkan bahawa beliau duduk di atas darah rakyat,' kata beliau.
Awal dari itu ribuan anggota Baju Merah berbaris panjang untuk mendermakan darah, sehari selepas pemimpin UDD berikrar akan mengumpul 1,000 liter darah untuk disimbah di Bangunan Kerajaan.
Menjelang petang mereka berhasil mengumpulan 500 liter darah, kata seorang pemimpin bantahan, Encik Weng Tochirakarn.
Para penunjuk perasaan berkata mereka akan menyimbah darah di pejabat Parti Demokrat dan rumah Encik Abhisit jika tuntutan mereka masih tidak dipenuhi.
Ekoran itu kawalan keselamatan dipertingkat di kedua-dua lokasi.
Jurucakap kerajaan, Encik Panitan Watanayagorn, berkata pihak berkuasa akan membenarkan bantahan selagi ia dilakukan secara aman.
Tetapi menurutnya, pihak berkuasa kesihatan sedang meneliti adakah perbuatan 'menyimbah darah di jalan raya melanggar peraturan kesihatan'.
Tindakan Baju Merah itu turut dikecam Palang Merah, yang menyifatkan tindakan tersebut sebagai membazir dan berbahaya kerana penyakit seperti hepatitis dan Aids boleh menular jika jarum terpakai digunakan.
Pegawai Persatuan Palang Merah Thai, Dr Ubonwon Charoonruangrit, kesal dengan perbuatan penyimbahan darah yang begitu banyak kerana ia boleh 'menyelamatkan banyak nyawa'.
Pemimpin bantahan menegaskan mereka menggunakan jarum baru bagi setiap penderma darah.
Menurut Encik Panitan, meskipun penunjuk perasaan bertindak secara aman pihak berkuasa sudah mengenal pasti 3,000 orang 'dengan rekod keganasan' ikut serta dalam bantahan, dan kini memantau kegiatan mereka.
Encik Abhisit semalam bertegas tidak akan melayani tuntutan penunjuk perasaan itu.
'Keputusan tidak boleh dibuat antara penunjuk perasaan dan kerajaaan kerana ia berkaitan seluruh negara,' tegas beliau menerusi televisyen dari sebuah kem tentera.
Sidang kedua-dua dewan parlimen semalam terpaksa ditangguhkan kerana tidak cukup kuorum memandangkan sesetengah anggota parlimen bimbang keselamatan mereka, para pegawai.
Kelmarin dua askar Thai cedera apabila empat bom tangan meletup di sebuah kem tentera. Tetapi para pemimpin Baju Merah menafikan mereka terlibat dalam serangan itu. -- Agensi.
Wednesday, March 17, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment