SHAH ALAM 6 Mac - Orang ramai dijemput menghadiri karnival Sungai Klang 2010 yang dianjurkan buat pertama kalinya di Selangor pada 13 dan 14 Mac bertempat di Taman Pengkalan Batu, Klang.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan sekretariat akhbar Menteri Besar Selangor, karnival tersebut adalah antara beberapa acara anjuran kerajaan negeri bersempena ulang tahun kedua pentadbiran Pakatan Rakyat di negeri itu. Sultan Selangor, Tuanku Sultan Sarafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli untuk berangkat melepaskan peserta larian Bandar DiRaja yang dijangka disertai kira-kira 5,000 peserta.
Karnival tersebut merupakan anjuran bersama Majlis Perbandaran Klang (MPK), PKNS, PNSB HSBC Amanah, Salcon PPC Joint Venture, Global Environment Centre, Soka Gakkai Malaysia dan Majlis Sukan Negeri Selangor.
"Selain larian Bandar DiRaja, Karnival Sungai Klang 2010 ini juga akan dimeriahkan dengan pelbagai acara lain seperti pertandingan kayak, pertandingan memancing, river hunt, pertandingan melukis, flying fox, shopping game, persembahan kombo pihak berkuasa tempatan dan hiburan artis tempatan," jelas kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi pembangunan di pesisir Sungai Klang menjadi fokus utama kerajaan negeri dan usaha ini menjadi agenda penting dalam pakej Rangsangan Ekonomi yang sedang berjalan dan bakal memberi manfaat kepada seluruh rakyat Selangor.
"Rakyat Selangor boleh mengetahui lebih lanjut lagi tentang rancangan pembersihan dan pembangunan Sungai Klang melalui pameran yang diadakan di jabatan kerajaan terbabit seperti Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK)," jelas kenyataan itu.
Saturday, March 6, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment