Pages

Tuesday, March 9, 2010

Ada tanda berlaku rasuah

JAKARTA: Timbalan ketua Suruhanjaya Pemberantasan Rasuah (KPK) Indonesia, Encik M. Jasin, berkata pasukan penyiasat badan itu menemui tanda-tanda menunjukkan berlaku rasuah dalam kes penyelamatan Bank Century.

'Wujud penemuan mulai dari pemberian dana jangka pendek hinggalah kepada kes itu,' kata Encik Jasin kelmarin.

Menurutnya, kes itu telah lama disiasat KPK dan hampir 60 saksi, terdiri daripada kakitangan Bank Indonesia, Kementerian Kewangan, Lembaga Penjamin Simpanan dan beberapa pihak yang ada kaitan, dipanggil memberi keterangan.

'Bagaimanapun tidak ada nama yang boleh dinyatakan. Sangat sukar untuk menemui bukti,' ujar Encik Jasin lagi.

Beliau juga berkata jika diperlukan KPK sedia menyiasat penjawat atasan seperti bekas Gabenor Bank Indonesia yang kini naib presiden Indonesia, Encik Boediono, dan Menteri Kewangan, Sri Mulyani Indrawati.

Encik Jasin menafikan KPK berdepan dengan tekanan dan campur tangan pihak berkuasa dalam siasatannya.

Minggu lalu, Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), iaitu parlimen, memutuskan dengan undi 325-212 bahawa langkah menyelamatkan Bank Century pada 2008 melanggar undang-undang.

Ia menyarankan agar siasatan jenayah dikenakan ke atas Encik Boediono dan Cik Sri Mulyani kerana meluluskan suntikan dana berjumlah 6.7 trilion rupiah ($1.02 bilion), iaitu 10 kali lebih besar daripada anggaran asal.

Encik Boediono bagaimanapun berkata beliau tidak akan meletak jawatan.

Ditanya mengenai hasil siasatan dan saranan parlimen dalam kes ini, Encik Jasin berkata KPK akan menghormati keputusan itu dan ia boleh dijadikan petunjuk, namun cara badan antirasuah itu menjalankan tugas berbeza.

Sementara itu, pemimpin Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP), Cik Megawati Sukarnoputri, meminta parlimen memberi tumpuan pada usaha membawa kes Bank Century ke muka pengadilan.

Wakil Penyelaras Badan Pemantau Rasuah Indonesia, Encik Emerson Yuntho, pula meminta KPK serius dan tidak mengambil masa panjang dalam menyelesaikan dakwaan rasuah kes itu kerana KPK satu-satunya harapan menyelesaikannya. -- Agensi.

No comments:

Posting Terkini