Pages

Wednesday, February 24, 2010

Rakyat Palestin, askar Israel bertempur

HEBRON: Penduduk Palestin bertempur dengan askar Israel di bandar Hebron, Tebing Barat, kelmarin, bagi membantah rancangan Israel hendak memasukkan dua makam suci di Tebing Barat sebagai tapak warisan sejarahnya.

Berpuluh pemuda Palestin membakar tayar dan membaling batu ke atas pusat pemeriksaan tentera Israel di bandar Hebron, yang dikenali sebagai bandar Khalilur Rahman oleh penduduk Palestin.

Askar Israel melepaskan tembakan gas pemedih mata dan bom kejutan, kata seorang wartawan AFP.

Penduduk melancarkan mogok dengan menutup kedai dan sekolah.

Tentera Israel berkata seorang askarnya cedera ringan semasa pergelutan. Tiada laporan rakyat Palestin cedera.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, mencetus kemarahan rakyat Palestian Ahad lalu apabila beliau mengumumkan akan memasukkan Makam Nabi Ibrahim as (Tomb of the Patriarchs) di Hebron, dan Qubbat Rakhil (Rachel's Tomb) di Baitulaham, yang dikenali sebagai Masjid Bilal bin Rabah oleh rakyat Palestin, dalam rancangan memulihkan 150 tapak warisan sejarah Yahudi, melibatkan biaya sebesar AS$100 juta ($140.5 juta).

'Kami mengutuk keras keputusan yang sekali lagi mengesahkan niat pemerintah Israel hendak menguasai wilayah kami,' kata ketua perunding Palestin, Encik Saeb Erakat, kepada AFP.

'Keputusan Israel ini satu provokasi bagi umat Islam di seluruh dunia, terutamanya rakyat Palestin,' tegasnya.

Rancangan itu dikecam kumpulan Hamas yang mentadbir Jaluran Gaza. Menteri pelancongannya, Encik Mohammed al-Agha, menggesa rakyat Palestin di Israel dan Tebing Barat pergi ke tapak tersebut untuk mempertahankannya.

Mesir dan Jordan turut mengutuk langkah Israel itu.

'Keputusan itu tidak sah. Pendirian terbaru Israel itu akan hanya mencetus tindakan pelampau, konfrontasi dan keganasan. Ia tidak membantu usaha Amerika Syarikat hendak menghidupkan semula proses damai,' kata jurucakap Kementerian Luar Mesir, Encik Hossam Zaki.

Duta Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Robert Serry, memberi amaran tindakan Israel boleh meningkatkan ketegangan di rantau itu. -- AFP.



No comments:

Posting Terkini