Pages

Saturday, February 27, 2010

Hanapiah antara empat kena gugur

KETUA jurulatih olahraga Hanapiah Nasir adalah antara empat nama yang bakal digugurkan selaku pengendali skuad kebangsaan selepas gagal memenuhi sasaran yang ditetapkan badan induk Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM), pada Sukan Sea XXV di Vientiane, Disember lalu.

Difahamkan, KOAM sudahpun menghantar surat bertarikh 21 Februari lalu kepada Majlis Sukan Negara (MSN) memohon supaya kontrak empat jurulatih itu yang turut membabitkan jurulatih jalan kaki, lari jarak sederhana dan lompat tinggi, tidak dilanjutkan.

Diminta mengulas perkara itu, Timbalan Presiden KOAM, Karim Ibrahim mengesahkannya tetapi enggan mendedahkan nama jurulatih terbabit dengan meminta supaya perkara itu dirujuk kepada MSN.

"Setiap jurulatih sudahpun diberikan sasaran yang perlu dipenuhi pada Sukan Sea XXV di Laos," kata Karim, semalam.

"Perkara itu dimaklumkan sebaik selepas Temasya Korat pada 2007 dalam setiap mesyuarat kejurulatihan dan mereka (jurulatih) sudah maklum mengenainya.

"Sasaran pertama ialah atlit bimbingan mereka perlu memenangi emas di Vientiane dan, kedua seandainya gagal mendapatkan objektif pertama itu, atlit mereka perlu berjaya memperbaiki catatan peribadi terbaik masing-masing.

"Hanya dua perkara ini yang kita tuntut daripada kesemua jurulatih kebangsaan. Malangnya, ada atlit yang gagal mencapai salah satu daripada matlamat itu walaupun dibimbing jurulatih yang sama hampir tiga atau empat tahun.

"Justeru, KOAM terpaksa mengambil langkah menamatkan kontrak jurulatih yang gagal mencapai sasaran yang ditetapkan dan memberi peluang kepada jurulatih lain membuktikan kredibiliti mereka," katanya.

Nama Hanapiah berada dalam senarai yang bakal digugurkan apabila tugasnya sekarang sudah diambil alih ketua jurulatih skuad olahraga Sukan Sea XXV, Harun Rasheed.

No comments:

Posting Terkini